MANILA: Menteri-Menteri luar ASEAN mencadangkan pelantikan Utusan Khas Tetap ke Myanmar serta pewujudan mekanisme penanda aras bagi menilai kemajuan negara itu dalam melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC), lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Cadangan itu antara yang dikemukakan pada Selasa semasa rundingan tidak rasmi yang diperluas mengenai situasi di Myanmar yang dipengerusikan oleh Filipina di Pasay City bagi membincangkan situasi politik yang berterusan di negara itu.
Dalam sidang media ringkas, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa Lazaro yang juga berkhidmat sebagai Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar berkata, diplomat kanan yang menghadiri mesyuarat itu bersetuju untuk mempertimbangkan kemungkinan melantik "Utusan Jangka Panjang" ke negara berkenaan.
"Telah dipersetujui bahawa pelantikan Utusan Khas secara tahunan, seperti dalam kes saya, sebenarnya tidak begitu berkesan kerana seseorang itu perlu mempunyai gambaran menyeluruh mengenai situasi," katanya.
"Secara praktikal, Brunei sebenarnya mencadangkan supaya Utusan Khas itu dibantu oleh sebuah unit di Sekretariat ASEAN. Namun, semua ini masih berupa cadangan. Terdapat juga isu berkaitan dana," katanya.
Menteri-Menteri luar itu turut mencadangkan pembangunan pendekatan atau mekanisme baharu sebagai penanda aras bagi menilai perkembangan di Myanmar.
Perbincangan tidak rasmi yang diperluas itu diadakan susulan pertemuan secara bersemuka pertama antara diplomat tertinggi Myanmar dan menteri-menteri luar ASEAN pada 12 Julai.
Tiada wakil Myanmar hadir pada perbincangan itu.
"Menerusi mesyuarat ini, saya optimis terhadap komitmen kita untuk membantu Myanmar mencapai penyelesaian yang berkekalan, yang dimiliki dan diterajui sendiri oleh Myanmar, serta akhirnya memberi manfaat kepada rakyat Myanmar dan rantau ini secara keseluruhannya," kata Lazaro.
Beliau berulang kali menegaskan, ASEAN akan terus berpandukan 5PC sebagai rujukan utama dalam membantu Myanmar menangani krisis politik yang dihadapinya dan bahawa negara itu kekal sebagai sebahagian penting daripada ASEAN.
-- BERNAMA-PNA