KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan beramai-ramai ke atas Kompleks Masjid Al-Aqsa oleh lebih 4,200 puak pelampau Yahudi, termasuk seorang menteri rejim Zionis Israel.
Wisma Putra memaklumkan, kejadian pada 23 Julai lalu itu berlaku di bawah perlindungan tentera rejim Zionis Israel.
"Tindakan menyerbu tempat suci ketiga umat Islam, disusuli sekatan yang dikenakan ke atas jemaah Palestin serta pelaksanaan aktiviti keagamaan tanpa kebenaran di dalam kawasan kompleks berkenaan.
“Merupakan pelanggaran nyata terhadap status quo sejarah dan undang-undang yang mentadbir Tapak Suci tersebut," menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.
Menurut kementerian itu, tindakan berkenaan turut merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan status Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Wisma Putra berkata, Malaysia memandang provokasi itu sebagai sebahagian daripada corak pelanggaran berterusan oleh rejim Zionis Israel di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, yang bertujuan menggugat kesucian Masjid Al-Aqsa serta mengubah sejarah, undang-undang dan demografi kawasan berkenaan.
“Tindakan-tindakan ini bukan sahaja mengancam keamanan dan kestabilan serantau, malah membelakangkan sensitiviti keagamaan umat Islam di seluruh dunia,” katanya.
Malaysia turut menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi bersama rakyat Palestin serta sokongan teguh terhadap hak-hak mereka yang tidak boleh dinafikan, termasuk hak menentukan nasib sendiri.
“Ia termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah Negara Palestin yang bebas serta berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” katanya lagi.
Pencerobohan itu berlaku ketika Menteri Keselamatan rejim Zionis Israel, Itamar Ben-Gvir, mengunjungi Kompleks Masjid Al-Aqsa pada Khamis sempena Tisha B'Av.
Beliau turut memuji kehadiran penganut Yahudi yang berdoa di kawasan berkenaan meskipun aturan sedia ada hanya membenarkan umat Islam menunaikan solat di lokasi tersebut.
Kompleks berkenaan, yang dikenali sebagai Temple Mount oleh penganut Yahudi, merupakan tapak paling suci dalam agama Yahudi dan lokasi ketiga paling suci bagi umat Islam.
Di bawah status quo yang berkuat kuasa sejak beberapa dekad lalu, kawasan itu ditadbir oleh sebuah yayasan Islam Jordan.
Penganut Yahudi dibenarkan melawat, namun tidak dibenarkan berdoa di dalam kompleks tersebut.
Sebarang cadangan untuk mengubah aturan itu sebelum ini pernah mencetuskan bantahan dalam kalangan umat Islam serta menjadi antara punca ketegangan dan keganasan di kawasan berkenaan.