TASHKENT: Malaysia menggesa dunia Islam supaya bertindak balas terhadap tragedi kemanusiaan di Gaza dengan menegaskan semula prinsip sejagat berteraskan keadilan, ihsan dan maruah insan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata penderitaan yang ditanggung orang awam di Gaza bukan sahaja menggugat nurani kemanusiaan, malah menimbulkan persoalan serius terhadap pelaksanaan undang-undang antarabangsa dan keadilan secara konsisten.
Beliau berkata tragedi itu turut mendedahkan keperluan mendesak terhadap pembaharuan tamadun Islam yang mampu menyumbang secara bermakna kepada keamanan global dan kepimpinan beretika.
Zulkifli berkata demikian ketika berucap pada sesi pleno Forum Tamadun Islam Antarabangsa yang berlangsung di sini.
Beliau berkata dunia Islam tidak seharusnya hanya mendefinisikan dirinya sebagai reaksi terhadap perkembangan luar, sebaliknya perlu menggali kekuatan daripada prinsip utama tamadun Islam yang kekal relevan iaitu ilmu, keadilan, rahmah, kesederhanaan atau wasatiyyah, dan hikmah.
Zulkifli berkata tamadun Islam kini perlu melangkaui nostalgia kegemilangan silam dan memberi tumpuan kepada usaha membentuk masa depan manusia di tengah-tengah perubahan geopolitik, teknologi dan alam sekitar yang pesat.
“Persoalan di hadapan kita bukan lagi sama ada tamadun Islam pernah mencapai kegemilangan. Sejarah telah pun menjawab persoalan itu.
“Persoalan yang lebih mendesak hari ini ialah: apakah peranan yang harus dimainkan tamadun Islam dalam membentuk masa depan kemanusiaan?” katanya.
Beliau berkata dunia hari ini bukan sahaja mencari kemajuan teknologi dan kemakmuran ekonomi, tetapi juga kejelasan moral, kepimpinan beretika dan nilai berkekalan, yang semuanya terus ditawarkan oleh tamadun Islam.
Zulkifli menegaskan bahawa pembaharuan tamadun yang sebenar bermula dengan pembaharuan intelektual, keyakinan moral dan tanggungjawab kolektif, bukan semata-mata kekuatan material.
Beliau berkata kebangkitan yang dihasratkan oleh dunia Islam perlu mengembalikan etika dalam tadbir urus, hikmah dalam ilmu dan tujuan dalam pembangunan, selain kekal berpaksikan kerohanian serta maju dari sudut sains.
Menggesa tindakan yang praktikal, Zulkifli berkata kebangkitan tamadun Islam mesti digerakkan melalui institusi yang lebih kukuh, pendidikan berkualiti dan kepimpinan beretika.
Beliau berkata prinsip seperti keadilan, amanah, syura dan kebertanggungjawaban kekal menjadi asas penting kepada tadbir urus yang baik dalam dunia yang semakin kompleks hari ini.
Mengenai teknologi baharu muncul, beliau berkata masyarakat Islam perlu menjadi rakan aktif dalam membentuk kerangka etika bagi kecerdasan buatan, bioteknologi dan pengkomputeran kuantum bagi memastikan inovasi sentiasa berkhidmat untuk kemanusiaan serta memelihara maruah insan.
Zulkifli turut menyeru pemerkasaan tanggungjawab terhadap alam sekitar, dengan berkata konsep manusia sebagai khalifah atau penjaga bumi dalam Islam menuntut manusia mengusahakan pembangunan yang seimbang, bertanggungjawab dan mampan.
Kekuatan sejarah tamadun Islam terletak pada keterbukaannya, apabila sarjana Islam menimba ilmu daripada Yunani, Parsi, India dan China, sambil kekal berpaksikan nilai Islam, katanya.
Menteri itu menegaskan bahawa kebangkitan tamadun Islam tidak harus dilihat sebagai persaingan antara tamadun, sebaliknya sebagai peluang untuk menyumbang kepada kemanusiaan melalui dialog, kerjasama dan saling menghormati.
Mengenai hubungan dua hala, Zulkifli berkata Malaysia dan Uzbekistan berkongsi warisan ketamadunan yang sama, dengan legasi Uzbekistan dalam sarjana Islam melengkapi pengalaman Malaysia dalam tadbir urus Islam, kewangan Islam dan kewujudan bersama secara aman dalam masyarakat pelbagai budaya.
Beliau berkata kedua-dua negara boleh menjadi jambatan antara Asia Tengah dan Asia Tenggara dalam memajukan ilmu, inovasi beretika dan pembangunan mampan demi manfaat dunia Islam yang lebih luas.
Malaysia, tambah beliau, kekal komited untuk memperkukuh kerjasama antara negara Islam sambil menjalin hubungan secara konstruktif dengan rakan daripada semua tamadun bagi menangani cabaran global bersama.
“Keunggulan tamadun Islam tidak pernah diukur semata-mata melalui seni bina yang megah atau penemuan sains yang luar biasa.
“Keunggulan sebenar tamadun Islam terletak pada keupayaannya membina masyarakat yang adil, melahirkan pemimpin beretika, memuliakan maruah setiap insan dan menuntut ilmu sebagai suatu bentuk keabdian kepada Allah serta kepada manusia,” katanya.
-- BERNAMA