KUALA LUMPUR: Operasi ketenteraan pasukan pendudukan Israel (IOF) dianggarkan telah memusnahkan lebih 90 peratus kawasan di Semenanjung Gaza, manakala rejim itu kini menguasai kira-kira 80 peratus daripada wilayah yang musnah akibat peperangan itu, menurut laporan situasi mingguan yang memetik sumber tempatan.
Laporan yang dikeluarkan pada Isnin oleh Pusat Komunikasi Kerajaan di Jabatan Perdana Menteri Palestin itu, meliputi tempoh 29 Jun hingga 6 Julai, menyatakan operasi ketenteraan Israel dipertingkatkan sepanjang minggu lalu di Khan Younis, Rafah dan Bandar Gaza, mengakibatkan lapan rakyat Palestin terbunuh, menurut sumber perubatan tempatan.
“IOF turut membedil kawasan kediaman serta merobohkan rumah, sekali gus menyebabkan lebih banyak keluarga Palestin kehilangan tempat tinggal,” menurut laporan itu.
Menurut laporan berkenaan, sepanjang minggu lalu, IOF melancarkan serbuan ketenteraan secara meluas di seluruh Tebing Barat yang diduduki termasuk serbuan ke atas rumah, penahanan, sekatan pergerakan serta penutupan jalan di beberapa bandar dan pekan Palestin.
Kawasan yang terjejas termasuk Ramallah, Nablus, Hebron, Bethlehem, Jenin, Qalqilya, Tulkarem dan Baitulmuqaddis yang diduduki.
Laporan itu turut menyatakan kumpulan militan pendatang haram Israel melancarkan beberapa siri serangan terhadap rakyat Palestin serta harta benda mereka.
Serangan itu termasuk membakar sebuah kafeteria di perkampungan al-Lubban ash-Sharqiya, menyerang penggembala Palestin di timur Bethlehem, cubaan mencuri ternakan, serta menyekat laluan masuk utama ke perkampungan Burqa, sekali gus terus menjejaskan kehidupan harian dan sumber rezeki rakyat Palestin.
Sementara itu, Kementerian Pertanian Palestin dalam taklimat mingguannya memaklumkan pihaknya mendokumentasikan peningkatan ketara tindakan Israel yang menyasarkan sektor pertanian di seluruh Tebing Barat yang diduduki.
Menurut kementerian itu, jumlah kerugian yang direkodkan dianggarkan mencecah US$11.78 juta, melibatkan sekurang-kurangnya 125 petani.
Sebanyak 2,559 pokok zaitun ditebang, dibakar atau dirosakkan, terutamanya di wilayah pentadbiran Salfit, Jenin dan Nablus, menurut laporan itu.
-- BERNAMA