Skip to main content

Dunia

Lebih 85 anggota bomba cedera ketika tangani kebakaran hutan di Perancis - Laporan

A firefighter walks in front of burning trees as a wildfire rages near Marcheprime, outside, Bordeaux, France, Sunday, July 26, 2026. (AP Photo/Emma Da Silva)
Lebih 220,000 orang telah dipindahkan di Jabatan Gironde, dengan kawasan yang terjejas akibat kebakaran di wilayah itu mencecah 42,000 hektar. - Foto fail/AP

MOSCOW: Lebih 85 anggota bomba di Perancis cedera semasa menangani kebakaran hutan yang besar  di seluruh negara, menurut penyiar Perancis BFMTV pada Isnin yang memetik pihak berkuasa Jabatan Gironde, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Minggu lepas, jumlah anggota bomba yang cedera dilaporkan seramai 84 orang.

Kini, lima lagi dilaporkan mengalami kecederaan semasa memadamkan kebakaran di Jabatan Hautes-Alpes, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 89 orang.

Sementara itu, tentera udara dan angkasa Perancis menggunakan pesawat pengangkut tentera Airbus A400M buat kali pertama bagi memadamkan kebakaran hutan di Jabatan Gironde, lapor portal berita dan dasar dalam talian Eropah, Euractiv, yang memetik Kementerian Angkatan Tentera Perancis.

Kebakaran di Jabatan Gironde mungkin berlanjutan untuk tempoh beberapa bulan lagi, kata jurucakap Persekutuan Anggota Bomba Kebangsaan, Leftenan Kolonel David Annotel.

"Kebakaran ini akan berterusan untuk beberapa minggu lagi, malah berkemungkinan mencecah beberapa bulan," katanya kepada penyiar Franceinfo.

Menteri Kewangan Perancis Roland Lescure memberitahu BFMTV bahawa lebih 13,000 perniagaan telah dikosongkan di Jabatan Gironde.

Syarikat teknologi Lectra mengumumkan penutupan sementara kilangnya di Bordeaux-Cestas dalam jabatan berkenaan berikutan kebakaran hutan di barat daya negara itu.

BFMTV sebelum ini melaporkan lebih 220,000 orang telah dipindahkan di Jabatan Gironde, dengan kawasan yang terjejas akibat kebakaran di wilayah itu mencecah 42,000 hektar.

Di tengah-tengah gelombang haba luar biasa, hutan di Perancis diselubungi api. Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata negara itu mengalami rekod bilangan kebakaran hutan tertinggi pada musim panas sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

 

Must Watch Video

Advertisement