BEIRUT: Sekurang-kurangnya lapan orang maut dalam siri serangan udara dan dron di beberapa kawasan di selatan Lubnan, menurut laporan media tempatan.
Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan dua warga Syria terkorban selepas sebuah tapak semaian di Jebchit menjadi sasaran serangan.
Serangan berasingan turut menyasarkan sebuah motosikal di Toul serta sebuah kenderaan di Ansar, yang mengorbankan dua individu lagi.
Sementara itu, angka korban akibat serangan udara ke atas Hospital Jabal Amel di Tyre dilaporkan meningkat kepada empat orang, dengan kira-kira 50 lagi cedera.
Menurut laporan, serangan ke atas fasiliti berkenaan menyebabkan kerosakan pada wad pesakit serta struktur bangunan di sekitarnya.
Dalam perkembangan sama, beberapa lokasi lain termasuk pusat pertahanan awam di Kfarsir dan kawasan kediaman di Nabatieh turut dilaporkan menjadi sasaran serangan udara.
Perkembangan tersebut berlaku ketika operasi ketenteraan Israel di selatan Lubnan dilaporkan semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Setakat ini, pihak Israel belum mengeluarkan maklum balas rasmi berhubung laporan serangan tersebut.