TEHRAN: Amerika Syarikat (AS) melancarkan siri serangan udara malam ke-10 berturut-turut ke atas Iran ketika konflik yang semakin meruncing di rantau Teluk terus menyaksikan tindakan balas daripada Tehran, termasuk serangan yang didakwa menyasarkan aset tentera AS di Kuwait.
Menurut Komando Pusat AS (CENTCOM), serangan terbaharu itu bertujuan melemahkan keupayaan ketenteraan Iran yang digunakan untuk mengancam perkapalan komersial di Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang mengendalikan sebahagian besar bekalan tenaga dunia.
Today at 4 p.m. ET, U.S. forces began a new round of strikes against Iran at the Commander in Chief's direction. The strikes are designed to further degrade Iranian military capabilities used to attack commercial shipping in the Strait of Hormuz.
— U.S. Central Command (@CENTCOM) July 20, 2026
Media Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di kawasan Sirik, Bandar Abbas, Pulau Qeshm, Chabahar dan Konarak, selain laporan aktiviti pertahanan udara di beberapa lokasi lain termasuk Bushehr yang menempatkan loji tenaga nuklear negara itu.
Dalam masa sama, tentera Iran mendakwa telah melancarkan serangan balas terhadap sistem peluru berpandu HIMARS milik AS yang ditempatkan di Kem Arifjan di Kuwait.
Tehran menyifatkan tindakan itu sebagai sebahagian daripada kempen berterusan terhadap pangkalan dan aset ketenteraan AS di rantau berkenaan.
Presiden AS, Donald Trump, turut memberi amaran bahawa Iran akan “membayar harga yang jauh lebih tinggi” susulan kematian anggota tentera AS dalam beberapa serangan sejak minggu lalu.
Sekurang-kurangnya tiga anggota tentera AS dilaporkan terbunuh dalam insiden berasingan di Jordan dan Iraq.
Konflik yang kembali memuncak itu berlaku selepas perjanjian sementara yang dicapai bulan lalu dilaporkan gagal meredakan ketegangan antara kedua-dua pihak.
Pertempuran kini semakin meluas dengan serangan ke atas sasaran ketenteraan, infrastruktur awam dan laluan perdagangan penting di rantau Asia Barat.
Dalam perkembangan berkaitan, dua kapal tangki minyak milik Greece dilaporkan diserang di Selat Hormuz, manakala sebuah lagi kapal tangki menjadi sasaran berhampiran perairan Oman. Insiden tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga global.
Kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yemen turut mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi, sekali gus meningkatkan risiko gangguan terhadap laluan perdagangan dan penghantaran minyak di Laut Merah.
Sementara itu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menyifatkan situasi semasa sebagai “perang berskala penuh” yang sedang dihadapi republik Islam itu, walaupun usaha diplomatik bagi meredakan konflik masih diteruskan melalui beberapa negara pengantara serantau.
Setakat ini, tiada petunjuk jelas bahawa kedua-dua pihak bersedia mengurangkan ketegangan, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa konflik tersebut boleh merebak lebih luas ke seluruh rantau Asia Barat.