Skip to main content

Dunia

Kru gabungan AS-Rusia kembali ke Bumi selepas misi lapan bulan di ISS

The International Space Station (ISS) crew of NASA astronaut Christopher Williams, Roscosmos cosmonauts Sergey Kud-Sverchkov and Sergey Mikaev react inside the Soyuz MS-28 space capsule after a landing in a remote area near Zhezkazgan, Kazakhstan, July 26, 2026. NASA/Bill Ingalls/Handout via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. MANDATORY CREDIT.
Ketiga-tiga mereka, Christopher Williams, Sergey Kud-Sverchkov and Sergey Mikaev menghabiskan 241 hari di makmal yang mengorbit Bumi itu selepas dilancarkan pada 27 November 2025. - Foto REUTERS

ISTANBUL: Kru gabungan Amerika Syarikat (AS) dan Rusia selamat kembali ke Bumi pada Ahad selepas menghabiskan masa hampir lapan bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), sekali gus menamatkan misi yang merangkumi penyelidikan saintifik, aktiviti berjalan di angkasa dan kerja penyelenggaraan di orbit, lapor Anadolu Ajansi.

Kapal angkasa Soyuz MS-28 yang membawa angkasawan NASA Chris Williams serta dua angkasawan Roscosmos Sergey Kud-Sverchkov dan Sergei Mikaev, mendarat dengan selamat menggunakan payung terjun pada 10.27 pagi GMT berhampiran Zhezkazgan di tengah Kazakhstan, kira-kira tiga setengah jam selepas berlepas dari ISS.

Ketiga-tiga mereka menghabiskan 241 hari di makmal yang mengorbit Bumi itu selepas dilancarkan pada 27 November 2025. Sepanjang misi, mereka melengkapkan 3,856 orbit mengelilingi Bumi dan menempuh perjalanan melebihi 164 juta kilometer.

Misi itu merupakan penerbangan angkasa pertama bagi Williams dan Mikaev manakala Kud-Sverchkov menyertai misi keduanya.

Sepanjang berada di ISS, mereka menjalankan pelbagai eksperimen saintifik, menguji teknologi untuk kegunaan misi angkasa pada masa hadapan serta melaksanakan kerja penyelenggaraan stesen.

Williams terlibat dalam penyelidikan berkaitan potensi rawatan kanser dan pembuatan termaju dalam persekitaran mikrograviti. Beliau turut menyertai dua aktiviti berjalan di angkasa bagi membantu persediaan menaik taraf sistem bekalan kuasa elektrik ISS serta menggantikan sendi yang rosak pada lengan robotik Canadarm2.

Selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di lokasi pendaratan, ketiga-tiga mereka menaiki helikopter ke Karaganda, Kazakhstan.

Williams dijadual kembali ke Pusat Angkasa Johnson NASA di Houston manakala Kud-Sverchkov dan Mikaev akan meneruskan perjalanan ke Star City, pusat latihan utama angkasawan Rusia di luar Moscow.

ISS dihuni secara berterusan sejak November 2000 dan berfungsi sebagai makmal mikrograviti yang membolehkan angkasawan dari pelbagai negara menjalankan penyelidikan yang tidak dapat dilakukan dalam keadaan graviti Bumi.

Misi itu turut menyerlahkan kerjasama antara AS dan Rusia dalam bidang angkasa, yang kekal sebagai antara sedikit bidang kerjasama antara kedua-dua negara meskipun wujud ketegangan geopolitik yang lebih meluas.

Menurut NASA, penyelidikan di ISS menyokong kemajuan dalam bidang perubatan, sains bahan serta pembangunan teknologi yang diperlukan bagi misi manusia ke Bulan pada masa hadapan menerusi program Artemis, sebelum diteruskan ke Marikh.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement