Skip to main content

Dunia

Korea Selatan teliti masa pelepasan minyak susulan kemungkinan krisis pada Ogos

61740874239_TBSouthKorea.jpg
Awal tahun ini, Seoul berjanji untuk melepaskan 22.46 juta tong minyak daripada rizab strategiknya menjelang 9 Jun di bawah pelan bersama yang diterima pakai oleh 32 negara anggota IEA. - Gambar fail/Arkib

SEOUL: Korea Selatan mengambil pendekatan berhati-hati berhubung masa pelepasan simpanan minyaknya di bawah perjanjian dalam kalangan ahli Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) susulan kebimbangan mengenai kemungkinan krisis minyak global pada Ogos, kata seorang pegawai kementerian industri pada Selasa, lapor Agensi Berita Yonhap.

Awal tahun ini, Seoul berjanji untuk melepaskan 22.46 juta tong minyak daripada rizab strategiknya menjelang 9 Jun di bawah pelan bersama yang diterima pakai oleh 32 negara anggota IEA sebagai sebahagian usaha membantu menangani gangguan dalam pasaran minyak yang dicetuskan oleh perang Amerika Syarikat (AS)-Israel menentang Iran pada akhir Februari.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perdagangan, Industri dan Keselamatan Sumber, Yang Ghi-wuk, memberitahu pemberita pada taklimat media rutin bahawa kerajaan Seoul dengan berhati-hati menentukan masa pelepasan itu, kerana pilihan itu harus digunakan hanya sebagai “kad” atau langkah terakhir dalam senario terburuk.

“Kebimbangan mengenai kemungkinan krisis minyak agak reda baru-baru ini dengan berita bahawa keadaan di Asia Barat mungkin bertambah baik, namun sehingga hanya beberapa hari lalu, terdapat unjuran bahawa bekalan minyak boleh menghadapi gangguan jika penutupan berkesan Selat Hormuz berterusan lebih lama,” katanya.

Pengarah Eksekutif IEA Fatih Birol memberi amaran minggu lepas, inventori minyak komersial semakin berkurangan pada kadar "sangat pantas", sambil menyatakan pasaran minyak boleh memasuki "zon merah" pada Julai atau Ogos.

Yang berkata kerajaan pada masa ini belum memerlukan pengeluaran minyak, hasil usaha negara mendapatkan bekalan alternatif dan sistem pertukaran minyak mentah dengan firma swasta.

“Kita cuba untuk mengikut rancangan IEA sebaik mungkin, tetapi ia bukan satu kewajipan atau sesuatu yang boleh dihukum," jelasnya, sambil menambah masa dan kaedah pelepasan mungkin berbeza mengikut negara.

Menurut Kementerian Industri, bekalan minyak mentah Korea Selatan kekal stabil buat masa ini, dengan kira-kira 85 peratus bekalan sebelum perang Iran diperoleh untuk digunakan sepanjang Julai.

-- BERNAMA-YONHAP

 

Must Watch Video

Advertisement