Skip to main content

Malaysia

KKM kekal tangkas pelihara kebajikan jemaah haji di Tanah Suci - Dzulkefly

​Sebak dan terharu. Itulah perasaan yang sukar saya bendung sejurus selesai sesi persidangan video bersama wira-wira perubatan KKM di Tanah Suci sebentar tadi. Melihat wajah-wajah keletihan yang tetap mengukir senyuman demi menyantuni dhuyufurrahman, biarpun terpaksa mendepani kegetiran cuaca panas melampau yang mencecah sehingga 48°C benar-benar menyentuh lubuk hati saya. Mereka bukan sekadar menjalankan tugas, mereka sedang berjuang.
Menerusi hantaran di Facebook, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata setakat 25 Mei, pasukan perubatan KKM di Tanah Suci telah memberikan 28,435 rawatan pesakit luar di tiga kompleks klinik utama pasukan itu. - Foto Facebook Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) kekal tangkas dan proaktif menterjemah nilai ihsan MADANI dalam memastikan kebajikan jemaah haji Malaysia terpelihara meskipun berdepan cabaran cuaca panas dan rombakan polisi baharu Arab Saudi.

Menerusi hantaran di Facebook, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata setakat 25 Mei, pasukan perubatan KKM di Tanah Suci telah memberikan 28,435 rawatan pesakit luar di tiga kompleks klinik utama pasukan itu.

Beliau berkata sebanyak 278 kes dipantau rapi di Transit Lounge Makkah dan Madinah, selain turut memapah dan membantu 23 jemaah uzur menyempurnakan ibadah menerusi Program Safari Wukuf.

“Namun, di sebalik keteguhan khidmat ini, hati kita turut diuji dengan berita hiba. Di kesempatan ini, mari kita bersama-sama menitipkan selawat dan doa buat 10 jemaah Malaysia yang telah kembali ke rahmatullah di Tanah Suci,” katanya.

Dzulkefly turut meluahkan rasa sebak dan terharu sejurus mengadakan sesi sidang video bersama petugas perubatan KKM di Tanah Suci hari ini.

“Melihat wajah-wajah keletihan yang tetap mengukir senyuman demi menyantuni dhuyufurrahman, biarpun terpaksa mendepani kegetiran cuaca panas melampau yang mencecah sehingga 48 darjah Celsius benar-benar menyentuh lubuk hati saya. Mereka bukan sekadar menjalankan tugas, mereka sedang berjuang,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement