Skip to main content

Dunia

Ketua sayap ketenteraan Hamas maut dalam serangan udara Israel

izz al din al haddad
Izz al-Din al-Haddad (foto) merupakan antara pemimpin tertinggi Hamas yang terkorban sejak pemeteraian gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat (AS) pada Oktober lalu, yang bertujuan meredakan konflik di Gaza. -Gambar fail

KAHERAH: Ketua sayap ketenteraan Hamas, Izz al-Din al-Haddad, disahkan maut susulan serangan udara yang dilancarkan Israel pada Jumaat.

Seorang pegawai kanan Hamas mengesahkan perkara itu kepada Reuters, manakala saksi di Gaza melaporkan pengumuman mengenai kematiannya turut disampaikan melalui pembesar suara di beberapa masjid.

Haddad merupakan antara pemimpin tertinggi Hamas yang terkorban sejak pemeteraian gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat (AS) pada Oktober lalu, yang bertujuan meredakan konflik di Gaza.

Bagaimanapun, kepimpinan politik Hamas di luar Gaza belum mengeluarkan kenyataan rasmi bertulis setakat ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz, dalam kenyataan bersama menyatakan Haddad menjadi sasaran utama operasi udara terbaharu.

Israel mendakwa Haddad merupakan antara perancang utama serangan pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan konflik di wilayah itu.

Beliau sebelum ini dilantik mengetuai sayap ketenteraan Hamas di Gaza bagi menggantikan Mohammad Sinwar yang terkorban dalam serangan udara Israel pada Mei 2025.

“Beliau bertanggungjawab atas siri operasi dan serangan terhadap anggota tentera dan orang awam Israel,” kata Netanyahu dalam kenyataan tersebut.

Kematian Haddad dijangka meningkatkan ketegangan di Asia Barat serta berpotensi menjejaskan usaha rundingan gencatan senjata yang sedang diusahakan pihak antarabangsa.

 

Must Watch Video