Skip to main content

Dunia

Ketua Liga Arab gesa Trump kekang dasar Israel terhadap rakyat Palestin

Egypt's Minister of Foreign Affairs Nabil Fahmy addresses the 68th United Nations General Assembly at UN headquarters in New York, September 28, 2013. REUTERS/Adam Hunger
Fahmy berkata semua pihak bertanggungjawab untuk mengekalkan keselamatan dan kestabilan serantau. - Foto fail/REUTERS

KAHERAH: Setiausaha Agung Liga Arab Nabil Fahmy pada Ahad menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengekang dasar Israel terhadap rakyat Palestin sambil memberi amaran bahawa rantau itu semakin menghampiri "titik ledakan pada pelbagai peringkat", lapor Anadolu Ajansi.

"Situasi di rantau ini sedang menuju ke tahap yang amat berbahaya dan semakin menghampiri titik ledakan pada pelbagai peringkat," kata Fahmy dalam kenyataan menjelang pertemuan yang dirancang antara Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Washington pada Selasa.

Beliau mengaitkan ketegangan semasa dengan "kebuntuan yang dihadapi isu Palestin" serta "peningkatan ketegangan secara semberono dan dasar yang membawa keadaan ke ambang konflik yang mencirikan krisis Teluk."

Serangan kejam tentera Israel mengorbankan lebih 73,000 orang dan mencederakan 174,000 yang lain di Gaza sejak Oktober 2023. Tel Aviv turut meningkatkan serangan di Tebing Barat yang diduduki, meragut nyawa hampir 1,200 rakyat Palestin dalam tempoh sama.

Israel dan AS turut melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada Februari 2026, mendorong Tehran melancarkan serangan balas terhadap negara-negara Teluk yang menempatkan aset AS di tengah-tengah ketegangan serantau yang semakin meningkat.

Fahmy berkata semua pihak bertanggungjawab untuk mengekalkan keselamatan dan kestabilan serantau sambil menegaskan bahawa pentadbiran AS khususnya perlu memikul tanggungjawab dalam perkara itu.

Beliau menggesa Trump supaya "mengekang cita-cita ekstremis kerajaan Israel" yang bertujuan menggagalkan inisiatif damai di Sharm El-Sheikh, merujuk kepada pelan 20 perkara Presiden AS itu untuk Gaza pada September 2025.

Pelan itu merangkumi gencatan senjata, pertukaran tahanan, pengunduran Israel secara berperingkat, pentadbiran peralihan Palestin dan pembinaan semula Semenanjung Gaza.

Ketua Liga Arab itu turut menggesa Presiden AS menghentikan pelanggaran berulang kali oleh Israel di Baitulmuqaddis Timur dan menamatkan serangan pihak penjajah terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki.

Beliau menuduh kerajaan Israel berusaha untuk "menghapuskan sepenuhnya kewujudan rakyat Palestin" dengan memperluas penempatan haram dan meneruskan rancangan pengusiran mereka.

Fahmy turut menggesa supaya “segera kembali” kepada persefahaman antara AS dan Iran serta menyambung semula rundingan yang bertujuan menamatkan konflik, memulihkan kestabilan di rantau itu, menghormati kedaulatan dan kepentingan negara jiran serta membuka laluan air bagi pelayaran selamat di Teluk dan Selat Bab el-Mandeb di Laut Merah.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement