WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengembalikan sekatan terhadap Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Wilayah Palestin yang Diduduki, Francesca Albanese, beberapa hari selepas menarik balik penyenaraiannya susulan perintah mahkamah, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kemas kini di laman web Jabatan Perbendaharaan AS pada Rabu menunjukkan Albanese dimasukkan semula ke dalam senarai Warganegara yang Ditetapkan Khas.
Hakim Mahkamah Daerah AS Richard Leon pada 13 Mei memutuskan bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump berkemungkinan melanggar hak kebebasan bersuara Albanese apabila mengenakan sekatan terhadapnya susulan kritikannya terhadap serangan Israel di Semenanjung Gaza, selain memberikan injunksi awal bagi menghalang pelaksanaan sekatan itu.
Bagaimanapun pada Jumaat, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan AS bagi Litar DC mengeluarkan perintah penangguhan pentadbiran terhadap keputusan Leon, sekali gus membuka laluan kepada kerajaan untuk mengembalikan status sekatan terhadap Albanese.
Albanese, warga Itali, dikenakan sekatan oleh AS pada Julai 2025 selepas beliau menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Hague meneruskan tindakan terhadap pegawai Israel atas dakwaan jenayah perang susulan serangan Israel di Semenanjung Gaza.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menuduh Albanese melancarkan “kempen peperangan politik dan ekonomi” terhadap AS dan Israel selepas satu laporannya mengenal pasti syarikat yang didakwa memudahkan pendudukan Israel di wilayah Palestin, termasuk Microsoft, Alphabet, Amazon dan Palantir Technologies.
Albanese berkhidmat sebagai pelapor khas Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi Wilayah Palestin yang Diduduki sejak 2022 bagi memantau pencabulan hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin.
Sekatan itu melarang Albanese memasuki AS, mengakses sistem perbankan dan pembayaran negara itu serta menjalankan urusan perniagaan dengan mana-mana pihak yang berpangkalan di negara berkenaan.
Suami Albanese, Massimiliano Cali, seorang ahli ekonomi World Bank, bersama anak perempuan mereka yang merupakan warganegara AS memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump pada Februari.
Israel telah mengorbankan lebih 72,000 orang dan mencederakan lebih 172,000 yang lain dalam tempoh dua tahun serangan di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, selain menyebabkan kemusnahan besar yang menjejaskan 90 peratus infrastruktur awam.
Pada November 2024, International Criminal Court mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes genosid di International Court of Justice berhubung serangannya di wilayah itu.
-- BERNAMA-ANADOLU