PARIS: Kebakaran memusnahkan lebih 700 hektar kawasan hutan di selatan Perancis, memaksa pemindahan penduduk serta mencetuskan operasi kecemasan berskala besar, menurut pihak berkuasa pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.
Kebakaran terbesar bermula di bandar Beaufort di wilayah Herault, di pesisir Mediterranean, sebelum merebak ke wilayah Aude.
Pihak berkuasa memaklumkan kira-kira 700 hektar kawasan hutan telah terbakar.
Angin kencang serta cuaca buruk menyebabkan api merebak ke bahagian timur laut Aude, sekali gus memaksa pihak berkuasa memindahkan sebahagian penduduk dari kampung Pouzols-Minervois dan Mailhac.
Penduduk lain pula diarahkan supaya kekal berada di kediaman masing-masing sementara anggota bomba berusaha mengawal kebakaran.
Lebih 280 anggota bomba, kira-kira 30 anggota "gendarmerie" Perancis, 11 pasukan khas pemadam kebakaran hutan, enam pesawat serta sebuah helikopter dikerahkan bagi memadamkan kebakaran.
Beberapa jalan di kawasan terjejas ditutup sebahagian, manakala penduduk dinasihatkan supaya mematuhi arahan perkhidmatan kecemasan.
Sementara itu, satu lagi kebakaran hutan tercetus pada Selasa di bandar Frejus, di wilayah Var.
Pihak berkuasa berkata angin kencang turut memburukkan keadaan, yang telah memusnahkan kira-kira 30 hektar kawasan.
Hampir 200 anggota bomba dengan sokongan 73 kenderaan kecemasan, tiga pesawat pemadam kebakaran dan tiga helikopter dikerahkan ke lokasi.
Sebagai langkah berjaga-jaga, tiga tapak perkhemahan dipindahkan, manakala sebahagian penduduk ditempatkan sementara di dua buah sekolah. Sebahagian Jalan D37 turut ditutup.
Sebanyak 23 kebakaran sedang berlaku di selatan Perancis, menurut platform pemantauan kebakaran hutan "Feux de Foret".
-- BERNAMA-ANADOLU