Skip to main content

Dunia

Kabinet Thailand lulus projek bersama Malaysia kurangkan risiko banjir di Lembangan Golok

51735562815_TBSUNGAIGOLOK.jpg
Lalida berkata inisiatif berkenaan akan meningkatkan kerjasama dua hala melalui pembangunan pangkalan data bersama, penilaian risiko banjir dan kemarau, serta pelan tindakan strategik bersama untuk lembangan sungai itu. - Gambar fail

BANGKOK: Kabinet Thailand pada Selasa meluluskan projek alam sekitar bersama Malaysia yang bertujuan mengurangkan risiko banjir, meningkatkan keselamatan air dan memulihkan ekosistem di Lembangan Sungai Golok, iaitu laluan air merentas sempadan utama yang menghubungkan kedua-dua negara.

Inisiatif yang mendapat sokongan dana sebanyak US$4 juta (RM15.9 juta) daripada Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF) itu akan dilaksana dalam tempoh 48 bulan dengan sokongan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

Timbalan Jurucakap Kerajaan Lalida Persvivatana berkata projek itu dibangunkan secara bersama oleh Pejabat Sumber Air Kebangsaan Thailand dan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia untuk menambah baik pengurusan banjir, menangani hakisan tebing sungai serta memperkukuh pengurusan sumber air merentas sempadan di Lembangan Sungai Golok.

"Projek ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh keselamatan alam sekitar dan memastikan pengurusan mampan bagi sumber air yang dikongsi bersama," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Kabinet pada Selasa.

Lalida berkata inisiatif berkenaan akan meningkatkan kerjasama dua hala melalui pembangunan pangkalan data bersama, penilaian risiko banjir dan kemarau, serta pelan tindakan strategik bersama untuk lembangan sungai itu.

"Ia juga akan mempromosikan penyelesaian berasaskan alam semula jadi bagi memulihkan ekosistem dan mengurangkan kesan cabaran alam sekitar terhadap komuniti di dalam lembangan berkenaan," katanya.

Sungai Golok membentuk sebahagian daripada sempadan semula jadi antara selatan Thailand dan utara Semenanjung Malaysia, dan sering terkesan oleh banjir bermusim yang menjejaskan komuniti di kedua-dua belah sempadan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement