Skip to main content

Dunia

J&J setuju bayar AS$5.5 bilion untuk selesai kes kanser serbuk talkum

FILE PHOTO: The logo of Johnson & Johnson is seen on the top of a Brussels' office of the company in Diegem, Belgium September 21, 2023. REUTERS/Yves Herman/File Photo
Penyelesaian itu akan membolehkan syarikat berkenaan menamatkan pertikaian undang-undang yang berlarutan sejak lebih sedekad lalu. - Foto REUTERS

NEW YORK: Syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Johnson & Johnson (J&J), bersetuju membayar AS$5.5 bilion bagi menyelesaikan puluhan ribu saman yang mendakwa serbuk bayi berasaskan talkum keluarannya menyebabkan kanser ovari.

Dalam pengumuman pada Isnin, J&J memaklumkan penyelesaian itu melibatkan kira-kira 69,000 kes yang sedang dibicarakan di mahkamah persekutuan dan negeri di AS.

Menurut syarikat berkenaan, jumlah itu mewakili hampir 99.75 peratus daripada semua kes berkaitan produk talkum yang masih tertunggak di negara tersebut.

Bagaimanapun, perjanjian penyelesaian itu hanya akan dimuktamadkan selepas mendapat persetujuan sekurang-kurangnya 95 peratus daripada plaintif yang terlibat.

Talkum merupakan mineral lembut yang pernah digunakan secara meluas dalam produk kosmetik dan penjagaan bayi.

Namun, penggunaannya semakin berkurangan selepas timbul kebimbangan mengenai kemungkinan kaitannya dengan penyakit kanser.

Pada 2024, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan talkum sebagai bahan yang "berkemungkinan menyebabkan kanser kepada manusia".

Walaupun berdepan pelbagai tindakan undang-undang, J&J terus menegaskan tiada bukti saintifik yang menunjukkan talkum menyebabkan kanser.

Syarikat itu bagaimanapun menghentikan penjualan serbuk bayi berasaskan talkum di AS pada 2020 sebelum menamatkan penjualannya di seluruh dunia pada 2023.

Kontroversi itu mendapat perhatian meluas selepas juri di AS pada 2016 mengarahkan J&J membayar pampasan AS$72 juta kepada keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat kanser ovari yang didakwa berpunca daripada penggunaan produk tersebut.

Walaupun keputusan itu kemudian dibatalkan, jumlah saman terhadap syarikat berkenaan terus meningkat apabila lebih ramai pengguna mengemukakan tuntutan serupa.

Ketua Bahagian Litigasi J&J, Erik Haas, berkata penyelesaian itu akan membolehkan syarikat berkenaan menamatkan pertikaian undang-undang yang berlarutan sejak lebih sedekad lalu.

Sementara itu, peguam yang mewakili plaintif menyambut baik perjanjian tersebut dan menyifatkannya sebagai penyelesaian yang adil kepada pertikaian panjang berhubung isu keselamatan produk itu.

Namun, penyelesaian berkenaan tidak melibatkan kes di United Kingdom (UK) yang kini menyaksikan tindakan undang-undang liabiliti produk terbesar dalam sejarah negara itu.

Kes yang difailkan pada Oktober 2025 itu melibatkan lebih 7,000 bakal plaintif yang mendakwa J&J mengetahui risiko kesihatan produk talkumnya tetapi terus menjualnya kepada pengguna.

J&J menafikan dakwaan tersebut, manakala kes berkenaan kini sedang dipertimbangkan di Mahkamah Tinggi UK.

 

Must Watch Video

Advertisement