BERLIN: Menteri Luar Jerman menyifatkan kegagalan negara itu mendapatkan kerusi tidak tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu “kekalahan pahit”, sambil menuding jari kepada Rusia kerana didakwa mempengaruhi sentimen negara anggota.
Johann Wadephul berkata sokongan tegas Jerman terhadap Ukraine serta pendiriannya terhadap Israel mungkin menyebabkan negara itu kehilangan undi dalam pemilihan yang berlangsung pada Rabu.
“Kami berdiri teguh menyokong Ukraine, dan Rusia tentunya tidak mahu suara seperti itu berada dalam Majlis Keselamatan,” katanya, sambil menambah bahawa bukan rahsia Moscow telah membangkitkan sentimen menentang Jerman.
Dalam pemilihan tersebut, Jerman hanya meraih 104 undi, berbanding Portugal dengan 134 undi dan Austria 131 undi, sekali gus gagal merebut dua kerusi bagi Kumpulan Eropah Barat dan Lain-lain.
Majlis Keselamatan PBB terdiri daripada lima anggota tetap iaitu China, Perancis, Rusia, Britain dan Amerika Syarikat, serta 10 ahli tidak tetap yang dipilih secara berkala.
Wadephul berkata pendirian jelas Jerman dalam isu antarabangsa, termasuk tanggungjawab khas terhadap Israel dalam konflik Asia Barat, mungkin tidak dipersetujui oleh semua negara anggota.
Beliau turut mengakui bahawa penyertaan Jerman yang agak lewat dalam pencalonan bagi tempoh dua tahun itu juga antara faktor yang menjejaskan peluang negara berkenaan.
Setakat ini, Rusia belum memberikan maklum balas terhadap dakwaan bahawa ia melobi menentang keanggotaan Jerman.
Selain Portugal dan Austria, negara lain yang turut dipilih menganggotai Majlis Keselamatan ialah Kyrgyzstan, Trinidad dan Tobago serta Zimbabwe.
Kegagalan tersebut dilihat sebagai tamparan kepada Canselor Jerman, Friedrich Merz, yang sebelum ini berjanji untuk meningkatkan kedudukan negara itu di pentas antarabangsa.
Bagaimanapun, Merz menegaskan Jerman akan terus memainkan peranan penting dalam sistem multilateral global dan mengucapkan tahniah kepada negara yang berjaya.
“Keputusan ini tidak mengubah tanggungjawab kami di PBB. Jerman akan terus menjadi tonggak yang boleh dipercayai dalam sistem antarabangsa,” katanya.