TOKYO: Parlimen Jepun meluluskan undang-undang bagi menubuhkan Majlis Risikan Kebangsaan dalam usaha menyelaras dan memperkukuh keupayaan perisikan serta keselamatan negara.
Langkah itu diluluskan melalui undian majoriti di Dewan Kaunselor selepas rang undang-undang berkenaan mendapat kelulusan Dewan Perwakilan pada akhir April lalu.
Penubuhan majlis itu merupakan antara dasar utama di bawah pentadbiran Perdana Menteri Sanae Takaichi, bagi menangani kelemahan sistem perisikan yang sebelum ini beroperasi secara terpisah di pelbagai kementerian.
Majlis tersebut dijadual mula beroperasi seawal Julai dan akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Ia turut dianggotai oleh beberapa menteri kanan termasuk Ketua Setiausaha Kabinet, Menteri Luar, Menteri Kewangan, Menteri Industri dan Menteri Pertahanan.
Di bawah struktur baharu, sebuah Biro Risikan Kebangsaan akan ditubuhkan sebagai sekretariat bagi menyelaras serta menganalisis maklumat keselamatan secara berpusat.
Majlis itu akan bertanggungjawab merangka dasar dan menyelaras tindak balas terhadap ancaman seperti keganasan, aktiviti perisikan asing serta operasi mempengaruhi oleh pihak luar.
Langkah tersebut diambil susulan kritikan yang menyifatkan Jepun sebagai “sasaran mudah aktiviti perisikan” berikutan undang-undang sedia ada dianggap tidak mencukupi dalam menangani cabaran keselamatan semasa.
Bagaimanapun, pengenalan undang-undang baharu ini turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan beberapa pihak berhubung perlindungan privasi serta keperluan mekanisme pengawasan terhadap aktiviti risikan.