PARLIMEN Jepun pada Jumaat meluluskan pindaan bersejarah terhadap Undang-Undang Keluarga Diraja yang mengekalkan pewarisan takhta negara itu hanya kepada lelaki daripada susur galur sebelah bapa.
Pindaan itu turut membolehkan kerabat lelaki daripada cabang jauh keluarga diraja diambil sebagai anak angkat bagi memastikan kesinambungan pewaris takhta.
Puteri yang berkahwin dengan rakyat biasa pula dibenarkan mengekalkan status diraja dan meneruskan tugas rasmi, namun suami serta anak mereka tidak akan menjadi anggota keluarga diraja.
Keputusan itu mencetuskan kebimbangan mengenai masa depan institusi diraja Jepun yang semakin mengecil dan menua. Ketika ini, hanya lima daripada 16 anggota dewasa keluarga diraja ialah lelaki.
Puteri Aiko, 24, yang merupakan anak tunggal Maharaja Naruhito dan Maharani Masako, tidak layak menaiki takhta kerana beliau seorang wanita, meskipun popular dan mendapat sokongan ramai rakyat Jepun.
Mengikut susunan pewarisan semasa, takhta akan diwarisi adik Naruhito, Putera Mahkota Akishino, diikuti anak lelakinya, Putera Hisahito, 19 tahun. Pewaris berikutnya ialah bapa saudara Naruhito, Putera Hitachi yang berusia 90 tahun.
Pakar memberi amaran bahawa usaha mempertahankan pewarisan lelaki boleh meningkatkan tekanan terhadap Hisahito dan kerabat lelaki lain untuk mendapatkan zuriat lelaki, sekali gus menjadikan masa depan keluarga diraja semakin tidak menentu.
Jepun pernah mempunyai lapan maharani sepanjang sejarahnya, namun peraturan pewarisan lelaki daripada susur galur sebelah bapa mula ditetapkan menerusi undang-undang pada 1890 dan dikekalkan dalam undang-undang 1947.
Cadangan membenarkan wanita menaiki takhta pernah dibincangkan pada 2005, namun diketepikan selepas kelahiran Hisahito.
Perdana Menteri Sanae Takaichi turut mempertahankan sistem pewarisan lelaki atas dasar tradisi dan kesinambungan institusi diraja.