HYDERABAD: Iran dan Amerika Syarikat (AS) telah bersetuju mengenai teks perjanjian untuk menamatkan permusuhan antara kedua-dua negara, menurut Pakistan yang bertindak sebagai orang tengah dalam usaha meredakan krisis itu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif berkata terdapat percubaan untuk mensabotaj usaha yang bertujuan menamatkan perang di Asia Barat itu.
“Di tengah-tengah usaha pengantaraan intensif yang sedang dijalankan Pakistan, kami sedar sepenuhnya mengenai kempen maklumat salah yang berterusan yang digerakkan oleh pihak yang mahu mensabotaj perjanjian damai ini,” kata Shehbaz dalam hantaran di platform X pada Jumaat malam, tanpa memperincikannya.
“Mengetepikan segala spekulasi itu, kami boleh mengesahkan bahawa teks muktamad perjanjian damai yang dipersetujui telah dicapai dan Pakistan kini bekerjasama rapat dengan kedua-dua pihak untuk memuktamadkan langkah seterusnya. Keamanan tidak pernah sehampir ini untuk dicapai,” tambah perdana menteri itu.
Semua butiran akan dikongsikan kepada umum pada masa yang sesuai, janji Menteri Luar Iran Abbas Araghchi menerusi hantaran di akaun X miliknya.
“Memorandum Persefahaman Islamabad tidak pernah sedekat ini untuk dicapai. Sementara menunggu ia dimuktamadkan, media harus mengelak daripada membuat spekulasi mengenai kandungannya,” katanya.
Amid ongoing intense mediation efforts by Pakistan, we are fully aware of incessant misinformation campaign being waged by those who want to sabotage the peace deal. Setting aside the noise, we can confirm that a final, agreed upon text of the peace deal has been reached and…
— Shehbaz Sharif (@CMShehbaz) June 12, 2026
AS dan Iran bersetuju melaksanakan gencatan senjata sementara pada 7 April lepas dengan Pakistan bertindak sebagai perantara.
Pihak yang berperang mengadakan rundingan langsung peringkat tinggi di Islamabad pada 11 hingga 12 April, namun gagal mencapai persetujuan mengenai syarat penyelesaian jangka panjang untuk menamatkan konflik yang bermula dengan serangan AS-Israel pada 28 Februari.
Rejim Zionis Israel dan kumpulan pelobinya telah mendorong AS untuk meneruskan peperangan terhadap Iran.
The Islamabad Memorandum of Understanding has never been closer. Pending its finalization, the media should refrain from entering speculation about its content.
In line with our responsible and transparent approach, all details will be shared with the public in due course.— Seyed Abbas Araghchi (@araghchi) June 12, 2026
Speaker Parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibaf, yang mengadakan rundingan dengan Naib Presiden AS J.D. Vance di Islamabad dua bulan lalu, pada Jumaat malam menegaskan bahawa komitmen yang dibuat mesti dipenuhi, sekali gus memberi bayangan bahawa satu perjanjian hampir dimeterai.
“Komitmen yang dibuat mesti ditepati. Tiada jika, tiada tetapi, tiada alasan. Bagi perjanjian yang hampir dicapai ini, tiada jalan lain,” katanya.
“Apa yang disemai, itulah yang dituai,” katanya memberi amaran.
Serangan berulang Israel ke atas Lubnan, yang termasuk dalam gencatan senjata April lepas, baru-baru ini memaksa Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sasaran Israel pada 7 Jun selepas rejim Netanyahu mengebom Beirut meskipun diberi amaran supaya tidak berbuat demikian.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) turut memberi amaran mengenai tindak balas lebih meluas melibatkan “semua sasaran AS-Zionis di rantau ini” sekiranya Israel tidak menghentikan pencerobohannya terhadap Lubnan.
Iran mahu memastikan tiada kelompongan yang membolehkan AS tidak mematuhi perjanjian itu, lapor Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB).
“Selepas menandatangani perjanjian awal, kami memberi tempoh 60 hari kepada AS untuk memenuhi tanggungjawabnya. Dalam tempoh ini, kami mungkin mencapai persefahaman atau melanjutkan gencatan senjata; ada juga kemungkinan selepas 60 hari, kami kembali kepada keadaan sebelum ini,” kata Araghchi kepada penyiar milik kerajaan itu.
Iran akan mengekalkan kawalan ke atas trafik perkapalan di Selat Hormuz, kata Araghchi.
Tiada tol akan dikenakan, namun Iran akan mengenakan caj bagi perkhidmatan tertentu, katanya.
IRIB melaporkan teks memorandum persefahaman awal itu mengandungi dua muka surat dan akan memastikan aset Iran yang dibekukan dapat diakses semula.
Naib Presiden AS pula berkata Iran tidak menerima sebarang wang tunai dan tiada dana akan disalurkan semata-mata kerana “menandatangani perjanjian atau menghadiri mesyuarat”, namun beliau kelihatan optimis mengenai kemungkinan satu perjanjian dicapai.
“Perjanjian ini dirangka untuk memastikan kebimbangan AS dan sekutunya diberi keutamaan, dan jika Republik Islam Iran memenuhi tanggungjawabnya, maka manfaat ekonomi akan mengalir kepada mereka dan seluruh rantau ini. Perjanjian ini berpotensi membentuk semula rantau ini serta membawa kepada keamanan berkekalan,” kata Vance di platform X.
-- BERNAMA