Skip to main content

Dunia

Iran serang balas, sasar pangkalan udara AS di Kuwait

TB_KUWAIT ARMED FORCES_X KUWAIT ARMY GHQ
Angkatan Tentera Kuwait menggesa orang ramai supaya mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

WASHINGTON: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran awal Khamis mendakwa menyasarkan sebuah pangkalan udara Amerika Syarikat (AS) di Kuwait sebagai tindak balas terhadap serangan udara AS berhampiran Lapangan Terbang Bandar Abbas di selatan Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut Agensi Berita Tasnim, agensi separa rasmi Iran, IRGC memaklumkan serangan balas itu berlaku pada 4.50 pagi (0120 GMT), beberapa jam selepas apa yang disifatkannya sebagai serangan AS ke atas satu lokasi berhampiran lapangan terbang bandar pelabuhan itu menggunakan projektil udara.

“Respons ini merupakan amaran serius supaya musuh mengetahui bahawa pencerobohan tidak akan dibiarkan tanpa tindakan balas, dan jika diulangi, respons kami akan lebih tegas,” menurut kenyataan itu.

Setakat ini, tentera AS belum memberikan sebarang maklum balas segera.

Terdahulu pada hari sama, seorang pegawai AS memberitahu Anadolu bahawa pasukan AS menembak jatuh empat dron Iran yang didakwa menimbulkan ancaman berhampiran Selat Hormuz serta menyerang sebuah stesen kawalan darat Iran di Bandar Abbas yang dipercayai sedang bersiap sedia melancarkan dron kelima.

“Tindakan ini bersifat terkawal, semata-mata untuk pertahanan dan bertujuan mengekalkan gencatan senjata,” kata pegawai itu yang enggan dikenali.

Serangan terbaharu itu berlaku selepas Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) awal minggu ini mengesahkan satu siri serangan terdahulu di selatan Iran yang menyasarkan lokasi pelancaran peluru berpandu dan bot Iran yang didakwa cuba meletakkan periuk api. Iran mengecam serangan itu sebagai “pelanggaran serius terhadap gencatan senjata”.

Terdahulu, ketika mengulas mengenai status rundingan untuk menamatkan serangan terhadap Iran, Presiden AS Donald Trump berkata beliau “tidak berpuas hati dengannya, tetapi kami akan mencapainya. Jika tidak, kami hanya perlu menyelesaikan tugas itu.”

Ketegangan serantau memuncak pada 28 Feb apabila AS dan Israel melancarkan serangan mengejut terhadap Iran, sekali gus mendorong Tehran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan beberapa lokasi di rantau itu serta menutup Selat Hormuz.

Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan.

Trump kemudian melanjutkan gencatan senjata itu tanpa had sambil mengekalkan sekatan terhadap kapal yang menuju ke atau dari pelabuhan Iran melalui laluan perairan strategik itu, selain beberapa kali menyatakan bahawa perjanjian damai hampir dicapai.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement