HYDERABAD: Pakistan dan Iran sedang meneliti usaha menghidupkan semula perkhidmatan kereta api kargo Islamabad-Tehran-Istanbul (ITI) bagi menggalakkan kesalinghubungan serantau dan perdagangan yang lebih kukuh.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Kereta Api Pakistan, Muhammad Hanif Abbasi dan Menteri Dalam Negeri Iran, Eskandar Momeni di Islamabad pada Rabu.
"Kedua-dua pihak bersetuju bahawa pengoperasian semula koridor ITI akan meningkatkan perdagangan antara Pakistan, Iran dan Turkiye dengan ketara, di samping memperkukuh kesalinghubungan serantau dengan Asia Tengah, Rusia dan Eropah," menurut kenyataan kerajaan Pakistan.
Perkhidmatan kereta api kargo ITI disambung semula pada Disember 2021 selepas terhenti selama sedekad, namun digantung pada 2022 berikutan pelbagai isu termasuk masalah logistik dan operasi.
Menurut kenyataan itu, perbincangan antara Abbasi dan Momeni turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam sektor kereta api, kesalinghubungan rentas sempadan, integrasi serantau, perdagangan serta kerjasama ekonomi.
Pakistan kini menaik taraf Laluan Utama-3 (ML-3), yang menghubungkan wilayah Sindh dan Balochistan selain menjadi koridor kereta api utama yang menghubungkan negara itu dengan Iran.
Abbasi berkata, kerja-kerja projek itu dijangka bermula pada tahun kewangan semasa dan dijadual siap menjelang Disember 2029.
Momeni pula berkata, Iran dijangka menyiapkan kerja-kerja pemodenan landasan kereta api Zahedan-Mirjaveh dalam tempoh sebulan.
Beliau turut menggesa Pakistan menyiapkan landasan kereta api tolok piawai dari Mirjaveh ke Taftan di Balochistan bagi memastikan operasi kereta api rentas sempadan berjalan lancar, menurut Agensi Berita IRNA.
-- BERNAMA