Skip to main content

Dunia

Iran dilapor tuntut pelepasan dana AS$24 bilion sebagai syarat rundingan dengan AS

51750847423_TBQALIBAF.jpg
Bagi memperincikan mekanisme pengurusan dana tersebut, ketua perunding Iran yang juga Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Qalibaf (foto), dilaporkan berlepas ke Qatar untuk mengadakan rundingan lanjut. -Gambar fail

TEHRAN: Iran dilapor menuntut pelepasan dana yang dibekukan sebanyak AS$24 bilion (kira-kira RM95 bilion) sebagai syarat utama dalam sebarang perjanjian berpotensi dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan konflik di antara kedua-dua negara.

Menurut laporan agensi berita Tasnim, sumber yang dekat dengan pasukan perunding Tehran berkata separuh daripada jumlah itu, iaitu AS$12 bilion (kira-kira RM47.6 bilion), perlu dilepaskan sebaik sahaja memorandum persefahaman (MoU) dimuktamadkan.

Baki AS$12 bilion lagi dituntut untuk disalurkan dalam tempoh 60 hari selepas MoU berkuat kuasa.

Bagi memperincikan mekanisme pengurusan dana tersebut, ketua perunding Iran yang juga Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Qalibaf, dilaporkan berlepas ke Qatar untuk mengadakan rundingan lanjut.

Sumber sama berkata perbincangan awal di Qatar menunjukkan perkembangan positif ke arah memuktamadkan perjanjian damai.

Bagaimanapun, menurut sumber itu, Tehran tetap mengambil pendekatan berhati-hati dalam menilai setiap perincian perjanjian memandangkan pengalaman lalu dalam hubungan dengan Washington.

Perkembangan ini menyusuli usaha diplomatik yang digerakkan pelbagai pihak termasuk Pakistan dan China bagi mencapai pelan gencatan senjata antara kedua-dua negara.

 

Must Watch Video

Advertisement