TEHRAN: Komander Pasukan Quds bagi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, Esmail Qaani, memberi amaran kepada Israel supaya segera berundur dari selatan Lubnan atau berdepan risiko pengunduran secara paksa seperti yang berlaku pada tahun 2000.
Menurut laporan media Iran, beliau berkata Israel akan diusir keluar sekiranya terus melancarkan serangan dan mengekalkan kehadiran tentera di wilayah tersebut.
Qaani berkata Israel mempunyai pilihan untuk berundur secara sukarela atau berdepan tindakan yang akan memaksa mereka meninggalkan kawasan itu dalam keadaan tewas.
“Jika anda tidak berundur dari selatan Lubnan dengan langkah sendiri, peristiwa tahun 2000 akan berulang, iaitu ketika anda melarikan diri dari wilayah itu dalam keadaan memalukan. Pilihan di tangan anda,” katanya.
Lubnan menyambut Hari Pembebasan setiap 25 Mei bagi memperingati pengunduran tentera Israel dari selatan negara itu pada 2000 selepas lebih dua dekad pendudukan.
Amaran itu dibuat ketika ketegangan di Asia Barat terus meningkat, dengan konflik dan serangan balas berterusan di sepanjang sempadan Israel–Lubnan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.