Skip to main content

Dunia

Iran capai kemajuan dalam rundingan dengan Oman mengenai mekanisme perkapalan Selat Hormuz

FILE PHOTO: A drone view of vessels anchored in the Strait of Hormuz as seen from Musandam, Oman, June 8, 2026. REUTERS/Stringer/File Photo
Kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai prinsip bersama dan mekanisme operasi bagi laluan selamat kapal di Selat Hormuz. - Reuters

ISTANBUL: Iran memaklumkan pada Ahad  bahawa ia mencapai kemajuan dalam rundingan dengan Oman mengenai mekanisme operasi bagi menjamin laluan selamat kapal-kapal yang melayari Selat Hormuz, sambil menegaskan tiada perubahan pada lalu lintas maritim di laluan air strategik itu,  lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.

Jurucakap Kementerian Luar Esmaeil Baqaei berkata beberapa pusingan rundingan telah diadakan di Tehran pada Jumaat dan Sabtu antara timbalan menteri luar Iran dan Oman.

"Kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai prinsip bersama dan mekanisme operasi bagi laluan selamat kapal di Selat Hormuz," kata Baqaei mengikut agensi berita separuh rasmi Fars.

Beliau menyifatkan rundingan itu sebagai "produktif" dan berkata kemajuan telah dicapai sepanjang perbincangan berkenaan.

Baqaei berkata delegasi Oman berlepas dari Tehran pada Sabtu malam, dan perundingan teknikal serta politik antara kedua-dua negara masih berterusan.

Selat Hormuz menjadi tumpuan selepas ketegangan keselamatan yang memuncak sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan kempen ketenteraan terhadap Iran pada 28 Feb 2026. Pada Jun, Washington dan Tehran menandatangani memorandum persefahaman yang merangkumi gencatan senjata susulan hasil perantaraan Qatar dan Pakistan, sekali gus membuka jalan kepada rundingan perjanjian akhir bagi menamatkan konflik itu.

Bagaimanapun, Presiden AS Donald Trump mengisytiharkan gencatan senjata itu berakhir pada 8 Julai berikutan peningkatan semula konflik ketenteraan.

Washington menuntut Tehran menghentikan serangan ke atas kapal dagang dan menjamin kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, manakala Iran bertegas bahawa laluan kapal perlu dikawal melalui mekanisme yang ditadbirnya di laluan air strategik sepanjang pesisir pantainya itu.

Trump telah mengarahkan pihak ketenteraan AS untuk tidak melancarkan serangan baharu ke atas Iran, sekali gus menamatkan serangan harian yang berlarutan hampir dua minggu, lapor Axios pada Sabtu yang memetik sumber yang mempunyai maklumat berhubung keputusan itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement