THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengumumkan pada Rabu bahawa tarikh permulaan perbicaraan terhadap bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte telah dijadualkan pada 30 November 2026, lapor Xinhua.
"Tarikh berkenaan ditetapkan oleh Kamar Mahkamah susulan satu persidangan pengurusan kes mengenai perkara ini dan isu-isu lain berkaitan persediaan perbicaraan," menurut ICC dalam satu kenyataan.
Kamar Perbicaraan III ICC mengambil kira hujah daripada pihak pendakwaan, pembelaan serta wakil undang-undang lain, selain masa yang diperlukan untuk mendedahkan bukti dan bahan-bahan berkaitan.
ICC berkata sebelum perbicaraan bermula, Kamar Mahkamah akan menyelesaikan semua perkara yang masih tertangguh dan mengguna pakai prosedur yang diperlukan bagi memastikan prosiding berjalan secara adil dan lancar.
Pada 23 April, ICC mengesahkan kesemua tiga pertuduhan "jenayah terhadap kemanusiaan" ke atas Duterte dan memerintahkannya dibicarakan.
Duterte berkhidmat sebagai Presiden Filipina dari tahun 2016 hingga 2022.
Beliau ditahan dan dipindahkan ke dalam tahanan ICC pada Mac 2025 di bawah waran tangkap berkaitan kempen memerangi dadah yang kontroversial, langkah yang kemudiannya dicabarnya.
Kehadiran kali pertama beliau di mahkamah berkenaan adalah pada 14 Mac 2025. Pada 28 November 2025, ICC menolak rayuan yang memohon pembebasannya atas faktor usia dan tahap kesihatan yang semakin merosot.
-- BERNAMA-XINHUA