Skip to main content

Dunia

Bos Lapangan Terbang Frankfurt jamin bekalan bahan api jet Eropah mencukupi untuk musim panas

Stefan Schulte, Chairman of the Executive Board of Fraport AG speaks during a groundbreaking ceremony for the new terminal 3 of Frankfurt Airport in Frankfurt, Germany April 29, 2019. REUTERS/Ralph Orlowski Purchase Licensing Rights
Schulte berkata sekiranya berlaku kekurangan bekalan di mana-mana rantau di dunia, penumpang sama ada akan dijadualkan semula ke penerbangan lain atau wang mereka dipulangkan. - Gambar fail/REUTERS

FRANKFURT: Ketua Lapangan Terbang Frankfurt memberi jaminan kepada penumpang di tengah-tengah kebimbangan mengenai gangguan bekalan bahan api jet semasa musim percutian musim panas susulan perang di Iran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Saya ingin menegaskan kepada setiap penumpang: jangan bimbang tentang tempahan anda buat masa ini," kata Stefan Schulte dalam satu temu bual bersama Handelsblatt yang diterbitkan pada Rabu.

Schulte berkata beliau percaya bekalan bahan api di Eropah akan kekal selamat sepanjang musim panas ini.

"Saya beranggapan bahawa dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kita akan mempunyai bekalan bahan api jet yang mencukupi di Eropah -- dan secara tidak langsung, di Jerman. Jika keadaan berjalan lancar, situasi ini akan berterusan sehingga akhir tahun," katanya kepada akhbar berkenaan.

Schulte berkata sekiranya berlaku kekurangan bekalan di mana-mana rantau di dunia, penumpang sama ada akan dijadualkan semula ke penerbangan lain atau wang mereka dipulangkan.

"Pada pandangan saya, kebimbangan mengenai kemungkinan terkandas di mana-mana adalah tidak berasas. Negara seperti India atau China mengendalikan situasi ini secara sangat profesional dengan membina rizab simpanan. Mana-mana pesawat yang dibenarkan mendarat di sana juga akan dapat berlepas pulang."

Kebimbangan itu berpunca daripada perang yang sedang berlaku di Iran dan penutupan Selat Hormuz, laluan yang biasanya mengendalikan pengangkutan lebih 25 peratus daripada bahan api penerbangan Eropah pada waktu aman.

Pakar-pakar sebelum ini memberi amaran tentang kemungkinan berlaku masalah gangguan rantaian bekalan.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement