VIENNA: Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi menyambut baik pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) interim di antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Beliau menggesa kedua-dua pihak mengadakan pertemuan segera bersama IAEA bagi merangka pelan tindakan susulan, khususnya dari sudut teknikal pemantauan nuklear.
“Adalah baik apabila memorandum itu telah dicapai. Kini, kerja teknikal akan bermula,” katanya seperti dipetik Reuters.
Grossi berkata ini merupakan masa sesuai untuk IAEA berbincang dengan pegawai tinggi AS dan Iran bagi merumuskan langkah konkrit seterusnya.
Kenyataan tersebut dibuat ketika Washington dan Tehran dijangka memulakan rundingan awal di Buergenstock, Switzerland pada Jumaat.
Rundingan itu turut melibatkan negara pengantara seperti Qatar dan Pakistan, dengan tumpuan kepada pelaksanaan penuh MoU serta mekanisme pemantauan bagi memastikan Iran tidak membangunkan senjata nuklear.