HONG KONG: Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (HKIA) membuka Terminal 2 yang dinaik taraf hari ini sebagai sebahagian daripada projek pembesaran bernilai AS$14.5 bilion (kira-kira RM58 bilion) untuk meningkatkan daya saing sebagai hab penerbangan global.
Terminal baharu itu merupakan sebahagian daripada projek Sistem Tiga Landasan (3RS) yang menyasarkan peningkatan kapasiti sehingga 100 juta penumpang setahun.
Pengerusi Lembaga Lapangan Terbang Hong Kong (AAHK), Fred Lam berkata terminal seluas 300,000 meter persegi itu memberi tumpuan kepada kecekapan operasi dan keselesaan penumpang melalui penggunaan teknologi digital.
Menurut beliau, Terminal 2 dilengkapi 58 kiosk daftar masuk kendiri serta 68 kaunter serahan bagasi automatik yang menggunakan sistem pengecaman wajah dan kecerdasan buatan (AI).
“Langkah ini membolehkan terminal mengurus sehingga 30 juta penumpang setahun dengan penggunaan tenaga kerja yang lebih efisien,” katanya.
Dalam fasa awal, Hong Kong Airlines menjadi syarikat penerbangan pertama menggunakan terminal tersebut bagi penerbangan ke Shanghai hari ini.
Sebanyak 15 syarikat penerbangan lain, termasuk beberapa syarikat tambang rendah seperti AirAsia, Bangkok Airways dan Cebu Pacific, dijadual memindahkan operasi daftar masuk ke Terminal 2 secara berperingkat sehingga 10 Jun.
Penyusunan semula itu dijangka mengurangkan kesesakan di Terminal 1 sekali gus memberi ruang operasi kepada syarikat penerbangan utama seperti Cathay Pacific.
Pada 2025, HKIA berada di kedudukan kelapan sebagai lapangan terbang paling sibuk di dunia dengan kapasiti 38.7 juta tempat duduk, di belakang Lapangan Terbang Changi Singapura (42.6 juta) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (62.4 juta).
Perkembangan ini berlaku ketika hab penerbangan Asia seperti Hong Kong, Singapura dan Seoul giat meningkatkan kapasiti dan menarik trafik udara susulan gangguan operasi di beberapa hab Asia Barat.