Skip to main content

Dunia

Harga minyak naik ke paras tertinggi sebulan susulan ketegangan AS-Iran di Selat Hormuz

minyak, oil_AP
Kontrak hadapan minyak mentah Brent meningkat sebanyak AS$1.68 atau dua peratus kepada AS$84.98 setong. - Gambar hiasan/AP

SINGAPURA: Harga minyak dunia melonjak kira-kira dua peratus pada Selasa, mencecah paras tertinggi dalam tempoh sebulan, susulan peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Selat Hormuz yang mencetuskan kebimbangan terhadap kelancaran bekalan tenaga global.

Kontrak hadapan minyak mentah Brent meningkat sebanyak AS$1.68 atau dua peratus kepada AS$84.98 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat naik AS$1.65 atau 2.1 peratus kepada AS$79.79 setong.

Kenaikan itu berlaku selepas Brent melonjak 9.6 peratus dalam sesi dagangan sebelumnya, iaitu peningkatan harian terbesar sejak Mei 2020.

Paras harga semasa juga merupakan yang tertinggi sejak AS dan Iran menandatangani memorandum persefahaman untuk menamatkan konflik antara kedua-dua negara pada 17 Jun lalu.

Pasaran tenaga global terus tertekan selepas AS mengumumkan penguatkuasaan semula sekatan laut terhadap perkapalan Iran, manakala kedua-dua negara meningkatkan operasi ketenteraan masing-masing di sekitar Selat Hormuz.

Pada Isnin, Kementerian Pertahanan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan dua kapal tangki minyak miliknya telah diserang dua peluru berpandu kruis Iran di laluan selatan Selat Hormuz dalam perairan Oman.

Serangan itu mengorbankan seorang kru warga India dan mencederakan lapan yang lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa Washington telah menguatkuasakan semula sekatan terhadap pelayaran Iran dan mahu negara-negara yang menerima perlindungan keselamatan AS di Selat Hormuz membayar pampasan bagi kos operasi tersebut.

Penganalisis Pasaran KCM Trade, Tim Waterer, berkata perkembangan terbaharu itu telah meningkatkan risiko dalam pasaran minyak.

“Peningkatan ketegangan terkini, termasuk penguatkuasaan semula sekatan oleh AS dan tindak balas Iran, jelas menambah risiko baharu kepada pasaran.

“Walaupun laluan perkapalan belum ditutup sepenuhnya, objektif yang bertentangan antara kedua-dua pihak telah menjadikan prospek bekalan minyak sangat tidak menentu,” katanya.

Sementara itu, Komando Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan bahawa pihaknya melancarkan malam ketiga berturut-turut serangan terhadap sasaran di Iran.

Pada masa sama, agensi berita Iran, YJC, melaporkan sekurang-kurangnya tujuh letupan kedengaran di bandar pelabuhan Bandar Abbas dan dua lagi di Pulau Kish pada awal Selasa.

Ketidakstabilan di rantau itu turut merebak ke Yaman apabila kumpulan Houthi melancarkan peluru berpandu ke arah Arab Saudi selepas menuduh Riyadh menyerang sebuah lapangan terbang yang berada di bawah kawalannya.

Pengurus Portfolio Gabelli Funds, Simon Wong, berkata sebarang perluasan serangan Houthi terhadap kemudahan minyak Arab Saudi di Laut Merah boleh menambah lagi ketidaktentuan bekalan minyak global.

“Jika Houthi memperluaskan serangan mereka kepada produk minyak mentah Arab Saudi di Laut Merah, ia akan meningkatkan lagi ketidakpastian terhadap aliran bekalan minyak dari rantau ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, tinjauan awal Reuters menunjukkan stok minyak mentah AS dijangka menurun minggu lalu, manakala inventori petrol dan produk sulingan berkemungkinan meningkat.

Penganalisis berkata gabungan faktor geopolitik di Asia Barat dan perubahan inventori minyak AS akan terus menjadi pemacu utama pergerakan harga minyak dalam tempoh terdekat.

Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang mengendalikan sebahagian besar penghantaran minyak dan gas dunia.

Sebarang gangguan terhadap laluan itu boleh memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global serta meningkatkan tekanan terhadap ekonomi antarabangsa.
 

 

Must Watch Video

Advertisement