Skip to main content

Dunia

Harga makanan global susut sedikit pada Jun susulan penurunan harga bijirin dan gula

61665733058_cereals.jpg
Indeks Harga Makanan FAO, yang menjejaki perubahan bulanan harga antarabangsa bagi sekumpulan komoditi makanan, mencatat purata 130.3 mata, turun 0.3 peratus berbanding Mei. - Gambar hiasan

ISTANBUL: Harga komoditi makanan global mencatatkan sedikit penurunan pada Jun apabila penyusutan harga bijirin, gula dan produk tenusu mengatasi kenaikan harga minyak sayuran serta daging, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

Indeks Harga Makanan FAO, yang menjejaki perubahan bulanan harga antarabangsa bagi sekumpulan komoditi makanan, mencatat purata 130.3 mata, turun 0.3 peratus berbanding Mei.

Indeks itu bagaimanapun masih 1.7 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas, namun kekal 18.7 peratus lebih rendah daripada paras tertinggi yang dicatatkan pada Mac 2022.

Indeks Harga Bijirin FAO susut 3.5 peratus bulan ke bulan kepada 110.2 mata berikutan harga gandum dunia merosot 4.4 peratus hasil kemajuan pesat musim menuai serta prospek bekalan yang lebih baik di rantau Laut Hitam.

Harga jagung turut menurun berikutan jangkaan bekalan yang mencukupi di Amerika Selatan serta penurunan harga minyak mentah yang menjejaskan permintaan terhadap bahan api bio.

Indeks Harga Gula pula merosot 5.7 peratus berbanding Mei kepada 89.7 mata, menandakan penurunan bagi bulan keempat berturut-turut. FAO berkata harga etanol domestik yang lebih rendah di Brazil mendorong lebih banyak tebu dialihkan kepada pengeluaran gula, sekali gus memberi tekanan ke bawah terhadap harga gula di pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Indeks Harga Produk Tenusu turun 1.5 peratus bulan ke bulan kepada 117.4 mata, dengan harga merosot bagi semua produk tenusu.

Sebaliknya, Indeks Harga Minyak Sayuran meningkat 3.8 peratus kepada 192 mata, iaitu 23.3 peratus lebih tinggi berbanding setahun lalu, didorong terutamanya oleh kenaikan harga minyak sawit dan minyak biji sesawi.

Indeks Harga Daging pula meningkat 0.4 peratus berbanding Mei dan 4.0 peratus tahun ke tahun kepada 131 mata, sekali gus mencatat rekod tertinggi baharu, dipacu oleh kenaikan harga ayam itik dan daging biri-biri.

FAO turut mengemas kini unjuran pengeluaran bijirin global bagi 2026 kepada 2.98 bilion tan, susut 1.9 peratus berbanding rekod tahun lepas, namun masih merupakan paras kedua tertinggi pernah direkodkan.

Agensi itu memaklumkan yang 41 negara, termasuk 31 di Afrika, masih memerlukan bantuan makanan dari luar berikutan konflik, ketidaktentuan keselamatan, kejutan cuaca serta harga makanan yang tinggi terus menyebabkan tahap ketakjaminan makanan yang serius kekal membimbangkan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement