LIMA: Selepas beberapa minggu dicemari protes, tuduhan penipuan dan semakan terhadap undi yang dipertikaikan dalam perlumbaan yang sengit, calon konservatif, Keiko Fujimori secara rasmi diisytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden Peru oleh pihak berkuasa pilihan raya negara itu pada Jumaat.
Fujimori memperoleh 50.135 peratus undi dalam pusingan kedua pilihan raya yang berlangsung pada 7 Jun lalu, sekali gus menamatkan penantian beliau untuk menduduki jawatan tertinggi negara itu selepas empat kali mencuba.
Beliau menewaskan anggota Kongres berhaluan kiri, Roberto Sanchez, yang meraih 49.865 peratus undi.
Perbezaan kedua-dua calon hanya sekitar 50,000 undi daripada keseluruhan 18 juta undi yang dikira.
“Ini adalah permulaan kepada satu fasa baharu. Kami memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab, rendah hati dan kesedaran mendalam terhadap tugas yang menanti,” kata Fujimori menerusi hantaran di platform X selepas pengumuman rasmi dibuat.
Beliau berkata, setiap hari sepanjang tempoh peralihan kuasa akan digunakan untuk mendengar pandangan rakyat, mengadakan dialog serta membuat persiapan bagi memulakan pentadbiran baharu.
Kemenangan tipis itu juga dilihat sebagai pembalikan nasib buat Fujimori selepas beliau tewas dengan majoriti kecil kepada bekas Presiden berhaluan kiri, Pedro Castillo, pada pilihan raya 2021.
Castillo kemudian digulingkan dan dipenjarakan pada 2022 selepas cuba membubarkan Kongres.
Sanchez pula dianggap sebagai pewaris politik Castillo dan sebelum ini menyatakan beliau tidak akan mengiktiraf kerajaan pimpinan Fujimori, sambil mendakwa berlaku penipuan pilihan raya tanpa mengemukakan bukti.
Calon kiri itu mendapat sokongan kuat daripada pengundi di kawasan luar bandar Peru dan pernah mendahului kiraan undi pada peringkat awal.
Beliau juga memperoleh kelebihan kecil dalam undi yang dibuang dalam negara.
Sanchez turut mengetuai beberapa demonstrasi membantah keputusan pilihan raya dan mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara-Amerika bagi mencabar keputusan tersebut.
Fujimori pula mendapat sokongan besar daripada pengundi di wilayah ibu negara Lima serta pengundi Peru yang tinggal di luar negara, faktor yang membantu melonjakkan beliau ke arah kemenangan.
Pilihan raya yang berlarutan dan berlangsung dalam suasana persaingan sengit itu sekali lagi menyerlahkan polarisasi mendalam serta ketidakstabilan politik yang telah menyaksikan beberapa presiden digulingkan sepanjang dekad lalu.
Pemimpin konservatif ucap tahniah
Apabila Fujimori mengangkat sumpah jawatan pada 28 Julai nanti, beliau akan menjadi Presiden ke-10 Peru sejak 2016.
Beliau bakal menggantikan Presiden sementara, Jose Balcazar, yang mengambil alih pentadbiran pada Februari selepas beberapa siri pemecatan presiden susulan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Kemenangan Fujimori turut dilihat mengukuhkan lagi kecenderungan politik ke kanan di Amerika Latin.
Beberapa pemimpin konservatif serantau termasuk Presiden Argentina Javier Milei, tokoh politik Chile Jose Antonio Kast dan Presiden El Salvador Nayib Bukele, telah mengucapkan tahniah kepada presiden baharu itu.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio turut mengucapkan tahniah kepada Fujimori dan menyatakan pentadbiran Presiden Donald Trump berharap dapat memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan, pelaburan dan perdagangan.
Pasaran kewangan juga menyambut baik kemenangan tersebut selepas sebelum ini berdepan ketidaktentuan sekiranya Sanchez menang.
Moody’s dalam satu laporan menyatakan, kerajaan pimpinan Fujimori dijangka mengekalkan kesinambungan dasar ekonomi, meningkatkan keyakinan pelabur dan membantu negara itu meneruskan pertumbuhan ekonomi.
Laporan sama turut menyebut bahawa keadaan itu berpotensi mempercepatkan pelaksanaan beberapa projek perlombongan yang tertangguh di Peru, negara pengeluar tembaga ketiga terbesar dunia.
Dinasti politik
Fujimori, 51, merupakan anak kepada bekas Presiden Alberto Fujimori yang memerintah Peru dari 1990 hingga 2000 menerusi pendekatan keras.
Alberto sering dikreditkan kerana berjaya menumpaskan pemberontak berhaluan Maois dan mengawal masalah hiperinflasi yang melanda negara ketika itu.
Namun, keluarga Fujimori kekal menjadi figura kontroversi dalam politik Peru.
Alberto pernah menjalani hukuman penjara selama 16 tahun atas kesalahan pencabulan hak asasi manusia, manakala Keiko pula pernah disiasat selama beberapa tahun berhubung dakwaan pembiayaan kempen politik sebelum kes tersebut digugurkan tahun lalu.
Beliau juga beberapa kali ditahan antara 2018 hingga 2020 sepanjang siasatan berlangsung dan menghabiskan hampir satu setengah tahun dalam tahanan.
Sebagai Presiden baharu, Fujimori kini berdepan cabaran besar untuk menyatukan negara yang semakin berpecah serta berurusan dengan Kongres yang berpecah-belah dan mempunyai sejarah menyingkirkan Presiden.
Peru turut berdepan jurang ekonomi yang ketara antara Lima dan kawasan luar bandar, yang menjadi lokasi siri bantahan besar-besaran selepas Castillo disingkirkan daripada jawatan. Ketegangan ketika itu mengorbankan lebih 60 nyawa dalam pertembungan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.
Kawasan luar bandar tersebut juga merupakan kubu kuat Sanchez, manakala partinya, Together for Peru, kini memegang blok kedua terbesar dalam Kongres. Parti Fujimori pula muncul sebagai parti dengan jumlah kerusi terbanyak. - Agensi