Skip to main content

Dunia

Harga beras di Jepun dijangka terus menurun susulan stok tinggi

41735575911_beras.jpg
Berdasarkan tinjauan di seluruh Jepun membabitkan pengeluar, pemborong dan peruncit, bacaan di bawah paras 50 menunjukkan jangkaan bahawa harga beras akan terus menurun. - Gambar hiasan

TOKYO: Indeks unjuran harga beras bagi tempoh tiga bulan akan datang pada Jun susut empat mata berbanding bulan sebelumnya kepada 19, kekal di bawah paras 50 untuk bulan kesembilan berturut-turut berikutan paras inventori yang tinggi serta jualan pada harga diskaun, menurut data persatuan beras yang dikeluarkan pada Isnin, lapor Kyodo News.

Indeks yang dikira oleh Pertubuhan Sokongan Bekalan Stabil Beras itu menyamai paras terendah yang pernah direkodkan pada Ogos 2014, ketika inventori meningkat susulan hasil tuaian yang sangat memberangsangkan pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan tinjauan di seluruh negara membabitkan pengeluar, pemborong dan peruncit, bacaan di bawah paras 50 menunjukkan jangkaan bahawa harga beras akan terus menurun.

Indeks bekalan dan permintaan beras bagi tempoh tiga bulan akan datang pula hampir tidak berubah apabila meningkat satu mata kepada 20 berbanding bulan sebelumnya, sejajar dengan pandangan bahawa keadaan bekalan dan permintaan dijangka semakin reda.

Apabila ditanya mengenai faktor yang mempengaruhi pandangan mereka terhadap harga serta keadaan bekalan dan permintaan, 58 peratus responden menyatakan "paras inventori domestik", manakala 23 peratus lagi menyebut "keadaan pemerolehan beras".

Menurut Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun, inventori beras sektor swasta meningkat 51 peratus kepada 2.23 juta tan setakat akhir Mei berbanding tempoh sama tahun lalu, menyamai paras tertinggi yang direkodkan pada 2014.

Harga beras mula melonjak pada musim panas 2024 selepas cuaca panas melampau menjejaskan hasil tuaian musim sebelumnya, menyebabkan harga purata meningkat kepada lebih 4,000 yen (AS$25) bagi setiap lima kilogram berbanding sekitar 2,000 yen sebelum berlakunya kekurangan bekalan.

Harga beras bagaimanapun mula menurun sejak kerajaan melepaskan stok simpanannya, termasuk menerusi kontrak secara langsung dengan peruncit, tahun lepas.

-- BERNAMA-KYODO

Must Watch Video

Advertisement