Skip to main content

Sukan

Piala Dunia 2026: Bellingham gesa penyokong England ambil cuti raikan kemenangan ke atas Mexico

england
Bellingham menjaringkan dua gol dalam tempoh 98 saat ketika membantu England mencatat kemenangan bersejarah 3-2 ke atas tuan rumah bersama itu pada pusingan 16 akhir di Stadium Azteca. - AP

MEXICO CITY: Wira England, Jude Bellingham menggesa rakyat negara itu supaya mengambil cuti bekerja dan tidak hadir ke sekolah bagi meraikan kemenangan bersejarah pasukan mereka ke atas Mexico di Piala Dunia, lapor PA Media/dpa.

Bellingham menjaringkan dua gol dalam tempoh 98 saat ketika membantu England mencatat kemenangan bersejarah 3-2 ke atas tuan rumah bersama itu pada pusingan 16 akhir di Stadium Azteca, namun keputusan itu hanya sebahagian daripada kisah sebenar apabila anak buah Thomas Tuchel bermain lebih 30 minit dengan 10 pemain dalam perlawanan yang pastinya akan dikenang.

Penyokong setia England berjaga sehingga lewat malam untuk memberikan sokongan kepada pasukan mereka selepas sepak mula perlawanan ditangguhkan sehingga jam 2 pagi waktu United Kingdom (UK), sekali gus menghilangkan rasa lesu pada pagi Isnin apabila England muncul pemenang.

Namun, dengan minggu bekerja bermula hanya beberapa jam selepas wisel penamat dibunyikan di Mexico City, Bellingham menggesa orang ramai mengambil cuti bagi meraikan kemenangan itu.

"Hantar mesej kepada majikan anda dan beritahu anda tidak akan datang bekerja. Mudah sahaja," katanya.

"Saya peminat England sejak berusia tujuh tahun dan Piala Dunia 2010 ialah yang pertama saya ikuti.

"Sudah tentu sejak kebelakangan ini kami melalui detik yang lebih baik, tetapi saya masih ingat menonton beberapa kejohanan dan melihat pemain yang kini menjadi pengulas televisyen bercakap mengenainya.

"Mereka berdepan kesukaran dalam perlawanan seperti ini dan ketika itu sukar kerana seolah-olah seluruh negara tidak benar-benar memberikan sokongan kepada mereka.

"Menjadi sebahagian daripada pasukan England yang dapat memberi begitu banyak kegembiraan kepada negara serta menghadiahkan malam seperti ini kepada penyokong, amat bermakna bagi saya, malah sama pentingnya dengan apa sahaja yang pernah saya capai dalam kerjaya.

"Apabila saya masuk ke bilik persalinan dan memeriksa telefon nanti, pasti akan ada banyak video.

"Kanak-kanak, jangan pergi ke sekolah. Ibu bapa, jangan pergi bekerja. Nikmatilah hari anda. Ambillah cuti jika boleh kerana malam seperti ini bukan selalu berlaku."

Bellingham mempamerkan aksi cemerlang apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh 98 saat untuk meletakkan England mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

Beliau kemudian melakukan terjahan penting yang menghalang Mexico daripada menyamakan kedudukan sebelum rehat, selain terus bekerja keras membantu England bertahan dengan 10 pemain selepas Jarell Quansah dilayangkan kad merah.

Mengambil kira cabaran yang dihadapi pasukannya sebelum perlawanan, termasuk beraksi pada altitud tinggi, berdepan Mexico yang mendapat kelebihan sebagai tuan rumah serta kelewatan sejam sepak mula akibat ribut petir di kawasan berkenaan, Bellingham menyifatkan kemenangan itu sebagai antara detik paling bermakna dalam karier antarabangsanya.

"Saya bangga dengan kumpulan pemain ini, skuad ini dan seluruh negara. Ia benar-benar terasa seperti kemenangan milik seluruh negara.

"Sepanjang minggu ini saya dapat melihat seluruh negara berdiri teguh di belakang kami. Kami tahu betapa sukarnya perlawanan ini. Suasananya luar biasa dan Mexico ialah pasukan yang bagus.

"Jadi, meraih kemenangan ini menjadikan malam ini detik terbaik dalam karier saya bersama England.

"Saya agak emosional sebaik wisel penamat dibunyikan. Saya mahu memeluk seramai mungkin rakan sepasukan kerana ini adalah kemenangan seluruh pasukan.

"Setiap pemain memainkan peranan masing-masing. Tiada seorang pun yang beraksi lebih daripada yang lain."

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement