TEHRAN: Hanya tiga kapal komersial dikesan merentasi Selat Hormuz pada Khamis, menjadikannya antara jumlah transit harian terendah sejak krisis di laluan maritim strategik itu memuncak, lapor Al Jazeera.
Menurut data perkapalan, kebanyakan kapal memilih untuk menghentikan pelayaran atau berpatah balik susulan peningkatan risiko keselamatan di kawasan berkenaan.
Data firma analitik Kpler setakat 1.13 petang Jumaat (waktu Malaysia) menunjukkan Miraan, sebuah kapal tangki produk yang membawa minyak bahan api, dan Norita, kapal pengangkut gas petroleum cecair (LPG), berjaya keluar dari Selat Hormuz melalui laluan perkapalan berhampiran perairan Iran pada Khamis.
Bagaimanapun, kedua-dua kapal terbabit dilaporkan berhenti di kawasan Teluk Oman selepas meninggalkan selat tersebut.
Sementara itu, data daripada London Stock Exchange Group (LSEG) menunjukkan Arolia, sebuah kapal tangki yang membawa minyak bahan api Iraq untuk tujuan pembekalan di laut, berpatah balik ke arah Teluk hanya beberapa jam selepas keluar dari Selat Hormuz pada awal pagi Jumaat.
Perkembangan itu mencerminkan tahap berhati-hati yang tinggi dalam kalangan pengendali kapal berikutan ketidaktentuan keselamatan di salah satu laluan perdagangan tenaga terpenting dunia.