BERLIN: Perkhidmatan kereta api di seluruh Jerman terhenti buat sementara waktu pada Selasa malam akibat gangguan sistem teknologi maklumat (IT) berskala nasional, menurut pengendali rel negara, Deutsche Bahn.
Semua tren terpaksa dihentikan di stesen selepas berlaku kerosakan pada sistem komunikasi radio digital kereta api, dikenali sebagai Global System for Mobile Communication for Railways (GSM-R), yang menyebabkan gangguan meluas.
Deutsche Bahn memaklumkan perkhidmatan kembali pulih selepas lebih dua setengah jam tergendala, dengan operasi kini disambung secara berperingkat.
“Pakar IT kami bekerja tanpa henti untuk menyelesaikan isu ini dan berjaya. Gangguan telah diperbaiki dan perkhidmatan sedang dipulihkan secara beransur-ansur,” katanya dalam kenyataan, sambil mengucapkan terima kasih kepada penumpang atas kesabaran mereka.
Gangguan bermula sekitar jam 10.30 malam waktu tempatan, apabila sistem komunikasi antara pemandu tren dan pusat kawalan trafik terjejas, sekali gus memaksa semua tren dihentikan demi keselamatan.
Syarikat itu kemudian mengesahkan punca gangguan telah dikenal pasti dan kerja pembaikan segera dijalankan oleh juruteknik.
Penumpang dinasihatkan mencari alternatif pengangkutan berikutan kelewatan dan pembatalan perkhidmatan yang meluas.
Deutsche Bahn juga menawarkan baucar teksi dan penginapan kepada penumpang terjejas serta menyediakan pengangkutan gantian jika perlu.
Gangguan itu menjejaskan perkhidmatan jarak jauh, perkhidmatan wilayah serta rangkaian S-Bahn yang menghubungkan kawasan pinggir bandar dengan pusat bandar.
Walaupun sistem telah dipulihkan, penumpang diminta menjangkakan kelewatan berterusan dan kemungkinan pembatalan perjalanan dalam tempoh terdekat.