WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan Jabatan Kehakiman (DOJ) menjalankan siasatan segera terhadap syarikat minyak utama negara itu susulan dakwaan harga runcit petrol tidak turun seiring kejatuhan harga minyak mentah global.
Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump berkata harga semasa yang ditetapkan syarikat berkenaan tidak mencerminkan kos bahan mentah yang lebih rendah.
Beliau menegaskan harga petrol sepatutnya menurun lebih cepat berbanding keadaan semasa.
“Saya telah mengarahkan DOJ untuk menyiasat perkara ini dengan serta-merta. Harga runcit petrol sepatutnya turun dengan lebih pantas berbanding apa yang saya lihat sekarang,” katanya.
Sebelum ini, Trump beberapa kali menyuarakan jangkaan bahawa harga bahan api domestik akan merosot selepas konflik dengan Iran berakhir serta laluan perdagangan di Selat Hormuz kembali stabil.
Walaupun harga minyak mentah global menunjukkan trend penurunan susulan perkembangan rundingan damai AS-Iran di Switzerland, penganalisis berpendapat kesan terhadap harga runcit mengambil masa untuk dirasai pengguna.
Mereka menjangkakan pelarasan harga di peringkat pengguna boleh mengambil masa beberapa bulan sebelum kembali stabil seperti sebelum berlakunya ketegangan di Asia Barat.