ISTANBUL: Kesatuan Eropah (EU) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menegaskan, tiada negara berhak menuntut kedaulatan atau kawalan ke atas Selat Hormuz, sambil menyifatkan sebarang sekatan, permit atau bayaran terhadap laluan antarabangsa itu sebagai menyalahi undang-undang.
“Tiada sebarang aturan, persefahaman atau memorandum dua hala antara negara boleh digunakan secara tidak sah untuk mengawal selia atau menyekat hak laluan melalui selat antarabangsa,” menurut kenyataan bersama kedua-dua blok selepas Forum Peringkat Tinggi mengenai Keselamatan dan Kerjasama Serantau yang berlangsung di Brussels pada 13 Julai.
Anadolu Ajansi melaporkan, kedua-dua pihak menegaskan bahawa hak laluan dijamin kepada semua negara di bawah undang-undang antarabangsa dan “tidak boleh tertakluk kepada kawalan atau kebenaran mana-mana negara.”
Forum itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas dan Menteri Luar Bahrain, Abdullatif bin Rashid Al-Zayani atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi Majlis Menteri GCC.
EU dan GCC menegaskan semula bahawa kebebasan pelayaran, termasuk hak melalui Selat Hormuz sebagai laluan yang digunakan untuk pelayaran antarabangsa dijamin di bawah undang-undang antarabangsa sebagaimana diperuntukkan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut.
“Kapal dari semua negara menikmati hak berkenaan dan tiada negara boleh menggantung, menghalang atau mengenakan sebarang syarat terhadapnya,” menurut kenyataan itu.
EU dan GCC turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan Iran terhadap kapal dagang yang melalui selat berkenaan serta wilayah berdaulat beberapa negara di rantau itu.
“Serangan berkenaan membahayakan nyawa orang awam dan pelaut, melanggar undang-undang antarabangsa serta Resolusi 2817 Majlis Keselamatan PBB, dan tidak boleh dibenarkan dalam apa jua keadaan,” menurut kedua-dua blok itu.
Mereka menggesa Iran supaya “segera dan tanpa syarat menghentikan semua serangan serta segala bentuk gangguan terhadap pelayaran maritim” dan memastikan Selat Hormuz kekal dibuka tanpa syarat, bayaran transit atau caj perkhidmatan.
“Sebarang serangan terhadap keselamatan sesebuah negara menjadi kebimbangan kepada semua pihak yang bergantung kepada keselamatan laluan air penting ini,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pihak berikrar untuk terus menyelaras secara rapat bagi melindungi kebebasan pelayaran, perkapalan antarabangsa dan keselamatan pelaut.
Mereka turut menyeru semua pihak supaya “menahan diri” serta menegaskan komitmen terhadap dialog dan diplomasi sebagai jalan untuk menyelesaikan krisis dan menjamin kebebasan pelayaran melalui selat itu.
Ketegangan semakin memuncak di Asia Barat ketika Amerika Syarikat (AS) dan Iran terus berbalas serangan.
-- BERNAMA-ANADOLU