Skip to main content

Dunia

Enam calon saing jawatan Setiausaha Agung PBB, siapa bakal ganti Guterres?

41593664705_AntonioGuterres.jpg
Tempoh perkhidmatan Antonio Guterres (foto) berakhir 31 Disember ini selepas 10 tahun menerajui badan dunia itu. -Gambar fail

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memulakan proses mencari Setiausaha Agung baharu susulan tamatnya tempoh perkhidmatan Antonio Guterres selepas 10 tahun menerajui badan dunia itu pada 31 Disember ini, lapor Al Jazeera.

Menjelang sesi dialog calon yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Agung PBB di New York pada Khamis, perhatian tertumpu kepada enam tokoh yang menawarkan visi masing-masing untuk masa depan organisasi itu.

Antara calon utama ialah bekas Presiden Chile, Michelle Bachelet, 74, yang berhasrat menjadi wanita pertama memegang jawatan Setiausaha Agung PBB selepas pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia.

Image
81770051011_MichelleBachelet.jpg
Michelle Bachelet

Turut bertanding ialah diplomat Argentina, Rafael Mariano Grossi, yang kini mengetuai Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Beliau mahu mengurangkan pertindihan struktur dalam PBB bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos operasi.

Image
61729993432_RafaelGrossi.jpg
Rafael Mariano Grossi

Bekas Menteri Luar Ecuador, Maria Fernanda Espinosa pula menegaskan cabaran kewangan merupakan isu paling mendesak yang dihadapi PBB, sambil berpendapat organisasi itu perlu melaksanakan reformasi dan transformasi bagi memastikan kelangsungannya.

Seorang lagi calon, Rebeca Grynspan dari Costa Rica yang kini menerajui Persidangan PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), mahu PBB bertindak lebih berani selain memperluas representasi dalam Majlis Keselamatan termasuk membabitkan negara dari Afrika dan Amerika Latin.

Bekas Presiden Senegal, Macky Sall, 64, turut menawarkan diri dengan membawa pengalaman mentadbir negara di peringkat tertinggi, meskipun pencalonannya pernah mencetuskan perdebatan politik di negara asalnya sebelum mendapat sokongan rasmi kerajaan pada bulan lepas.

Image
41653549330_MackySall.jpg
Macky Sall

Calon terakhir yang menyertai persaingan itu ialah Wakil Tetap Guyana ke PBB, Carolyn Rodrigues-Birkett, yang menekankan kepentingan memperkukuh multilateralisme, meningkatkan keberkesanan tadbir urus global serta memastikan PBB kekal relevan dalam menangani cabaran semasa.

Sesi itu memberi peluang kepada setiap calon membentangkan visi serta keutamaan masing-masing dalam menangani pelbagai cabaran geopolitik global yang semakin kompleks.

Selain itu, calon-calon terbabit turut dijangka mengemukakan pandangan mengenai isu pembangunan antarabangsa, keamanan, perubahan iklim dan pembaharuan institusi PBB.

Bagaimanapun, pelantikan Setiausaha Agung PBB tertakluk kepada proses pertimbangan Majlis Keselamatan PBB sebelum disahkan oleh Perhimpunan Agung PBB.

Penganjuran sesi debat itu dilihat sebagai usaha meningkatkan ketelusan serta keterbukaan dalam proses pemilihan kepimpinan tertinggi badan dunia berkenaan.
 

Must Watch Video

Advertisement