COLOGNE: Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) menggesa syarikat penerbangan antarabangsa supaya terus mengelak menggunakan ruang udara Iran, Iraq dan Lubnan buat masa ini, meskipun perjanjian interim antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah dimeterai.
Dalam notis amaran terbaharu, agensi itu memaklumkan risiko pelanggaran gencatan senjata masih wujud dalam jangka pendek, terutama di sekitar Selat Hormuz serta ruang udara berhampiran, lapor Al Jazeera.
EASA turut menekankan bahawa keadaan keselamatan kekal tidak stabil susulan gencatan senjata yang rapuh di antara tentera Israel dan pejuang Hezbollah, selain kemungkinan berlakunya aktiviti ketenteraan secara tiba-tiba.
Selain tiga negara terbabit, syarikat penerbangan komersial juga dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika mengendalikan penerbangan di ruang udara beberapa negara lain di Asia Barat, termasuk Bahrain, Kuwait, Israel, Jordan, Qatar, Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
Menurut agensi itu, lanjutan tempoh nasihat zon konflik sehingga 1 Julai dibuat bagi memastikan keselamatan operasi penerbangan daripada sebarang ancaman.
Walaupun tahap risiko keselamatan keseluruhan di rantau berkenaan menunjukkan tanda penurunan, EASA menegaskan keadaan masih tidak menentu dan boleh berubah secara mendadak pada bila-bila masa.