Skip to main content

Bisnes

Pelan Strategik 2030 dan pendigitalan perkasa sektor PMKS

KUALA LUMPUR, 14 Okt -- Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin menyampaikan ucapan pada peluncuran Pusat Penyelidikan Cemerlang dan Repositori Atas Talian SEARCCT (SCORE) di sebuah hotel hari ini.  --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohamad berkata, KUSKOP turut mempergiat usaha memperkasakan pendigitalan dalam kalangan usahawan melalui pelbagai program dan kerjasama strategik. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelan Strategik Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2030 yang dirangka Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mentransformasikan sektor PMKS negara ke arah perniagaan yang lebih mampan, berdaya saing serta berupaya menyesuaikan diri dengan trend baharu dan cabaran luar jangka.

Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Mohamad Alamin berkata kementerian kekal komited membantu usahawan PMKS, termasuk dalam menangani cabaran peningkatan kos operasi perniagaan yang semakin memberi tekanan kepada golongan usahawan.

"Antara inisiatif utama yang diperkenalkan ialah platform MyMall yang dilancarkan pada tahun 2022 sebagai ekosistem pembangunan keusahawanan digital yang menyediakan ruang pemasaran dalam talian atau e-dagang secara percuma kepada PMKS dan koperasi tempatan.

“Sehingga 31 Mei 2026, seramai 5,776 peniaga telah berdaftar di MyMall dengan nilai jualan terkumpul sebanyak RM24.5 juta,” katanya dalam jawapan di Dewan Rakyat.

Menurut Mohamad, usahawan PMKS digalakkan untuk memanfaatkan platform tersebut bagi mengembangkan perniagaan secara dalam talian tanpa menanggung kos tambahan pemasaran digital, sekali gus membantu mengurangkan kos operasi.

Selain itu, KUSKOP turut mempergiat usaha memperkasakan pendigitalan dalam kalangan usahawan melalui pelbagai program dan kerjasama strategik.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk kerjasama bersama TEKUN Nasional menerusi TikTok Shop yang menyediakan studio lengkap dengan teknologi terkini bagi membolehkan usahawan menjalankan sesi penstriman langsung untuk mempromosikan produk mereka.

"Kementerian juga melaksanakan Program Bimbingan dan Latihan Perseorangan Bumiputera (BANGKIT) serta Latihan Keusahawanan (MOFA) melalui INSKEN yang memberi penekanan kepada aspek pendigitalan perniagaan. Program berkenaan melibatkan latihan berstruktur dalam penggunaan sistem jualan (POS), pemasaran media sosial dan e-dompet," katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Program Jajahan Rakyat yang dilaksanakan oleh Bank Rakyat turut membantu meningkatkan pembangunan perniagaan usahawan tempatan.

Program tersebut telah melibatkan seramai 627 usahawan, dengan 236 orang atau 40 peratus daripada jumlah peserta berjaya didigitalkan melalui inisiatif berkenaan.

Selain itu, Bank Rakyat turut merekodkan pembiayaan berjumlah RM610,000 serta Akaun Semasa dan Simpanan bernilai RM194,000 menerusi program tersebut.

Must Watch Video

Advertisement