KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membentangkan satu lagi pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan [Akta 333] pada hujung tahun ini, bagi memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa kemalangan yang disebabkan oleh pemandu berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata cadangan itu bertujuan memastikan keadilan dapat diberikan kepada mangsa dan keluarga mereka, selain hukuman sedia ada seperti penjara dan denda terhadap pesalah.
Beliau berkata kementerian sedang menyediakan memorandum Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan dasar sebelum cadangan berkenaan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk digubal sebagai rang undang-undang (RUU) sebelum dibentangkan pada persidangan ketiga Dewan Rakyat tahun ini.
“Memang betul kita mempertimbangkan supaya ada satu kaedah baharu untuk bukan sahaja menjatuhkan hukuman penjara dan denda kepada pemandu di bawah pengaruh alkohol ataupun dadah, tetapi memasukkan elemen supaya ada bayaran ganti rugi kepada mangsa ataupun pampasan kepada keluarga mangsa.
“Konsep ini telah banyak diperkatakan bahawa perlu ada keadilan kepada keluarga mangsa. Ini sesuatu yang saya setuju,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Loke berkata cadangan itu tidak dimasukkan dalam pindaan terbaharu akta berkenaan yang dibentangkan untuk bacaan kedua semalam, kerana RUU tersebut pada asasnya telah dirumuskan kira-kira dua tahun lepas dan sebarang penambahan dasar baharu memerlukan proses penggubalan yang berasingan.
Beliau berkata memorandum berkenaan cadangan pindaan itu telah diedarkan kepada kementerian berkaitan untuk mendapatkan ulasan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh satu hingga dua bulan.
Kerajaan, katanya, tidak bertolak ansur terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, namun menegaskan bahawa sebarang pindaan undang-undang perlu memberikan tumpuan terhadap aspek keadilan kepada mangsa dan keluarga yang terkesan akibat kemalangan.
“Apa-apa sahaja undang-undang, bukan 100 peratus boleh mengelakkan kemalangan atau jenayah, tetapi kita nak lihat bagaimana undang-undang dapat menjamin keadilan sekiranya kemalangan berlaku supaya mangsa dan keluarga mangsa diberi keadilan. Bukannya kita tidak serius, kita (amat) serius,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata kempen kesedaran akan terus dipergiat bagi mengubah sikap pengguna jalan raya, termasuk menyampaikan mesej secara konsisten bahawa individu yang mengambil minuman beralkohol tidak seharusnya memandu.
Loke berkata cadangan pindaan baharu itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu pemandu mabuk dan berada di bawah pengaruh dadah, selain memperkukuh perlindungan kepada mangsa kemalangan jalan raya.
-- BERNAMA