Skip to main content

Dunia

DR Congo rekod lebih 400 kematian akibat Ebola, kes baharu meningkat

Congolese medical workers wearing personal protective equipment (PPE) prepare to bury the coffin of a patient who died of Ebola, as authorities intensify efforts to contain a new Ebola outbreak involving the Bundibugyo strain outbreak in Rwampara outside Bunia, Ituri province, Democratic Republic of Congo, May 21, 2026. REUTERS/Stringer
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa kadar kematian kes yang dilaporkan di DR Congo berkemungkinan tidak mencerminkan keadaan sebenar. - Gambar fail/Reuters

KIGALI: Jumlah kematian akibat wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DR Congo) meningkat melebihi 400 orang selepas hampir 40 kematian baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, menurut kemas kini situasi Kementerian Kesihatan pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jumlah kes yang disahkan meningkat kepada 1,406, termasuk 438 kematian, dengan kadar kematian kes sebanyak 31.2 peratus sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei.

Wabak itu tertumpu di 34 zon kesihatan di wilayah Ituri, Kivu Utara dan Kivu Selatan.

Kementerian itu memaklumkan zon kesihatan ke-24 yang dikenali sebagai Lolwa kini turut terjejas di wilayah Ituri, yang menjadi pusat penularan wabak semasa.

Sekurang-kurangnya 192 pesakit telah pulih, manakala 609 lagi masih menjalani pengasingan atau menerima rawatan di hospital.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa kadar kematian kes yang dilaporkan di DR Congo berkemungkinan tidak mencerminkan keadaan sebenar kerana banyak kes kematian sebelum wabak itu diisytiharkan masih disiasat.

Pihak berkuasa kesihatan memaklumkan faktor seperti masalah keselamatan, pergerakan penduduk, penentangan komuniti serta tekanan terhadap kemudahan kesihatan menjejaskan usaha membendung penularan strain Ebola Bundibugyo.

Dua individu, termasuk seorang anggota polis maut pada Selasa manakala sebuah pusat rawatan dibakar dalam insiden keganasan yang tercetus susulan pertikaian berhubung mayat seorang lelaki yang dipercayai meninggal dunia akibat Ebola di Ituri.

Presiden DR Congo Felix Tshisekedi mengumumkan pelan tindak balas Ebola bernilai US$319 juta pada awal minggu ini.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement