Skip to main content

Dunia

Delegasi Hamas adakan rundingan baharu gencatan senjata di Kaherah

FILE PHOTO: Hamas officials, Khalil Al-Hayya and Osama Hamdan, attend a press conference in Beirut, Lebanon, November 21, 2023. REUTERS/Esa Alexander/File Photo
Rundingan dipimpin Khalil al-Hayya yang mengetuai pasukan rundingan Hamas dalam siri perbincangan gencatan senjata dengan Israel. -Gambar fail/Reuters

KAHERAH: Delegasi peringkat tinggi Hamas berlepas ke Mesir pada Selasa bagi menyambung semula rundingan pelaksanaan fasa kedua perjanjian gencatan senjata dengan Israel.

Menurut kenyataan Hamas, perbincangan itu akan berlangsung di Kaherah dengan penglibatan negara-negara pengantara yang sedang berusaha memastikan pelaksanaan penuh perjanjian gencatan senjata.

Delegasi pejuang Palestin itu dijadual mengadakan pertemuan dengan pengantara dari Mesir, Qatar dan Turkiye, selain bertemu pelbagai kumpulan Palestin bagi menyelaraskan pendirian bersama berhubung perkembangan semasa.

"Pertemuan ini diadakan bagi memperkukuh pelaksanaan gencatan senjata serta memastikan komitmen sepenuhnya terhadap semua perkara yang telah dipersetujui sebelum ini," menurut kenyataan Hamas.

Usaha diplomatik terbaharu itu dibuat bagi menghidupkan semula proses pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada 10 Okt 2025.

Rundingan di Kaherah kali ini turut dijangka memberi tumpuan kepada dakwaan pelanggaran gencatan senjata oleh Israel, selain usaha memastikan peralihan kepada fasa kedua perjanjian dapat dilaksanakan.

Pihak pengantara turut berusaha memperincikan mekanisme berkaitan jaminan keselamatan, pengunduran tentera Israel, pemulihan kemudahan awam dan pengagihan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Rundingan ini dipimpin Khalil al-Hayya yang mengetuai pasukan rundingan Hamas dalam siri perbincangan gencatan senjata dengan Israel.

 

 

Must Watch Video

Advertisement