WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata sebarang dana Iran yang dibekukan sebelum ini dan kini dilepaskan akan digunakan oleh Tehran untuk membeli makanan secara eksklusif dari AS.
Trump berkata langkah itu bukan sahaja bertujuan membantu keperluan rakyat Iran, tetapi juga memberi manfaat kepada sektor pertanian AS.
“Semua wang itu akan kembali dalam bentuk pembelian makanan yang mereka sangat perlukan. Mereka mempunyai 91 juta penduduk dan tidak mampu menyara makanan secukupnya,” katanya kepada pemberita.
Beliau menambah, hasil daripada langkah tersebut juga akan memberi pulangan ekonomi kepada petani AS.
“Jadi, wang yang kita lepaskan itu akan kembali kepada petani kita,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika rundingan antara AS dan Iran sedang berlangsung di Switzerland, sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik lebih luas untuk menamatkan konflik dan menyelesaikan isu sekatan ekonomi serta program nuklear Tehran.
Antara perkara utama dalam rundingan tersebut ialah pembebasan sejumlah aset Iran yang dibekukan di luar negara sebagai sebahagian daripada perjanjian sementara antara kedua-dua pihak.
Pentadbiran Trump dilaporkan mahu memastikan dana berkenaan digunakan untuk tujuan kemanusiaan seperti pembelian makanan dan barangan asas, selain pada masa sama menyokong eksport pertanian AS seperti gandum, jagung dan kacang soya.
Namun, pihak Iran menolak dakwaan bahawa mereka terikat untuk membeli produk pertanian daripada AS.
Gabenor Bank Pusat Iran dilaporkan berkata Tehran tidak mempunyai kewajipan di bawah perjanjian sedia ada untuk membeli input pertanian dari AS.
Laporan media Iran turut menyatakan bahawa dana yang dilepaskan itu tidak semestinya akan digunakan hanya untuk makanan, sebaliknya boleh digunakan untuk pembelian barangan lain yang tidak tertakluk kepada sekatan.
Dalam perkembangan berkaitan, agensi berita Tasnim yang mempunyai kaitan dengan pihak berkuasa Iran turut menafikan bahawa wujud sebarang perjanjian khusus yang menetapkan dana tersebut mesti digunakan untuk membeli makanan dari AS.
Perbezaan kenyataan antara Washington dan Tehran mencerminkan jurang yang masih wujud dalam rundingan antara kedua-dua negara, khususnya berkaitan syarat dan pelaksanaan perjanjian interim.
Walaupun kedua-dua pihak melaporkan kemajuan dalam rundingan, beberapa aspek utama termasuk penggunaan dana, sekatan ekonomi dan isu nuklear masih memerlukan persetujuan lanjut.
Pemerhati menjangkakan rundingan akan terus berdepan cabaran, namun langkah pembebasan dana dilihat sebagai salah satu usaha membina kepercayaan antara kedua-dua pihak ke arah penyelesaian jangka panjang.