BEIJING: China akan terus memperkukuh kerjasama pembangunan dua hala dan pelbagai hala dengan ASEAN bagi menghasilkan impak lebih pragmatik, selain mempromosikan pembentukan komuniti China-ASEAN yang lebih erat demi masa depan bersama sempena ulang tahun kelima Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China.
Jurucakap Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China (CIDCA) Tang Ying berkata perkongsian berkenaan memberikan momentum baharu untuk memperluas kerjasama, di samping menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Beliau juga berkata kedua-dua pihak juga merupakan rakan kongsi penting dalam bersama-sama membina Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta melaksanakan Inisiatif Pembangunan Global (GDI).
"Sejak sekian lama, China memberi tumpuan untuk menyelaraskan strategi pembangunannya bersama ASEAN, dengan melaksanakan pelbagai bentuk kerjasama pragmatik dalam bidang seperti peningkatan kapasiti, rundingan perancangan, serta pencegahan dan pengurangan bencana," katanya.semasa menjawab pertanyaan Bernama semasa sidang media suku kedua CIDCA di sini, pada Selasa.
Tang berkata di bawah kerangka Dana Pembangunan Global dan Kerjasama Selatan-Selatan (GDSSCF), China telah menjalin kerjasama dengan organisasi antarabangsa termasuk Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk melaksanakan lebih 20 projek bersama negara anggota ASEAN.
Projek-projek berkenaan merangkumi aspek pembasmian kemiskinan, pendidikan, kesihatan dan bantuan makanan, katanya.
Menurut Tang, China turut menjalankan kerjasama pembangunan sumber manusia dengan negara-negara ASEAN yang memfokuskan kepada bidang keutamaan bagi pembangunan sara hidup seperti pentadbiran awam, pelaburan ekonomi dan perdagangan, selain sektor pertanian, perhutanan, penternakan serta perikanan, sekali gus memainkan peranan aktif dalam pembangunan ekonomi dan sosial serantau.
Tang berkata Projek Kerjasama Pengurusan Bencana China-ASEAN yang dilancarkan tahun ini akan meningkatkan lagi keupayaan pencegahan dan pengurangan bencana serantau, seterusnya menyuntik momentum baharu dalam membina rantau ASEAN yang lebih daya tahan.
Sementara itu, Tang turut memaklumkan bahawa Kerajaan China bersetuju untuk menyediakan bantuan barangan kemanusiaan kecemasan tambahan bernilai 100 juta RMB kepada Venezuela bagi menyokong usaha tindak balas bencana dan pembinaan semula negara itu susulan kejadian gempa bumi kuat baru-baru ini.
-- BERNAMA