Skip to main content

Dunia

Bernie Sanders dakwa AS bersubahat dalam krisis kemanusiaan di Gaza

Rep. Bernie Sanders, I-Vt., speaks during an address marking New York City Mayor Zohran Mamdani first 100 days in office at the Knockdown Center, Sunday, April 12, 2026, in New York. (AP Photo/Andres Kudacki)
Sanders (foto) berkata puluhan bilion dolar bantuan kewangan dan ketenteraan terus disalurkan kepada kerajaan Israel yang didakwanya berulang kali melanggar undang-undang antarabangsa. -Gambar fail/AP

WASHINGTON: Senator Amerika Syarikat (AS), Bernie Sanders, membidas tindakan kerajaan AS yang disifatkannya bersubahat dalam krisis kemanusiaan berterusan di Gaza menerusi pemberian bantuan ketenteraan kepada Israel.

Menerusi kenyataan di platform X, beliau berkata puluhan bilion dolar bantuan kewangan dan ketenteraan terus disalurkan kepada kerajaan Israel yang didakwanya berulang kali melanggar undang-undang antarabangsa.

"Fakta yang memalukan ialah Amerika Syarikat bersubahat dalam semua perkara yang berlaku di Gaza.

"Kita telah menyalurkan berbilion-bilion dolar bantuan ketenteraan kepada kerajaan Israel yang secara konsisten melanggar undang-undang antarabangsa dan pemimpinnya adalah seorang penjenayah perang," kata Sanders.

 

 

Ahli politik veteran dari Vermont itu turut mendakwa tentera Israel kini menguasai kira-kira 70 peratus wilayah Gaza.

Menurutnya, Israel juga telah membina puluhan pos kawalan baharu di wilayah itu sejak gencatan senjata diumumkan sembilan bulan lalu.

Beliau berkata kemusnahan infrastruktur di Gaza kekal pada tahap yang membimbangkan, dengan 92 peratus unit kediaman dilaporkan rosak atau musnah sepenuhnya.

Sanders turut mendakwa sebahagian besar kanak-kanak kecil di Gaza kini berdepan risiko kesihatan yang serius akibat penyakit dan kebuluran yang berpanjangan.

Bagaimanapun, beliau berkata semakin ramai rakyat AS tanpa mengira parti politik mula mendesak White House menghentikan bantuan ketenteraan kepada Israel.

"Berita baiknya ialah rakyat Amerika mula menyedari perkara ini.

"Lebih ramai rakyat Amerika sama ada daripada kelompok Demokrat, Republikan mahupun Bebas kini menuntut agar kita menghentikan semua bantuan ketenteraan kepada Israel.

"Kongres mesti mendengar suara rakyat Amerika. TIADA LAGI BANTUAN KETENTERAAN AS KEPADA ISRAEL," tegas Sanders.

 

Must Watch Video

Advertisement