SEOUL: Mahkamah Korea Selatan menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun ke atas bekas Menteri Kehakiman, Park Sung-jae, atas peranannya dalam pengisytiharan undang-undang tentera pada Disember 2024 yang mencetuskan krisis politik negara itu.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul mendapati Park bersalah atas tuduhan terlibat dalam pemberontakan, dengan hukuman yang dijatuhkan panel hakim itu lebih berat daripada tuntutan pendakwaan sebelum ini yang memohon 20 tahun penjara.
Pendakwa raya berhujah tertuduh menyalahgunakan kuasa dengan memperalatkan undang-undang bagi menyokong tindakan pemberontakan, sekali gus mencabar kedaulatan undang-undang negara.
Fakta kes menunjukkan Park mengadakan mesyuarat bersama pegawai kementerian pada awal pagi pengisytiharan tersebut bagi menilai kapasiti penjara, dipercayai untuk menahan tokoh pembangkang, selain mengarahkan kerjasama diberikan kepada pihak yang melaksanakan undang-undang tentera.
Pengisytiharan undang-undang tentera oleh bekas Presiden Yoon Suk-yeol pada Disember 2024 hanya bertahan kira-kira enam jam selepas ahli parlimen bergegas ke Bangunan Perhimpunan Nasional dan mengundi untuk membatalkannya dalam sidang khas.
Yoon sebelum ini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah mengetuai pemberontakan dan kini dalam proses rayuan.
Awal bulan ini, beliau turut dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dalam kes berasingan selepas disabitkan kesalahan menghantar dron ke Korea Utara bagi mencetuskan krisis keselamatan sebagai justifikasi kepada pengisytiharan undang-undang tentera.