Skip to main content

Dunia

Becerra mara dalam perlumbaan gabenor California

SACRAMENTO: Bekas Setiausaha Kesihatan Amerika Syarikat (AS), Xavier Becerra, mara dalam perlumbaan jawatan Gabenor California selepas keputusan awal pilihan raya pendahuluan pada Selasa.

Laporan media AS menyatakan Becerra, yang juga bekas Peguam Negara California, dijangka menjadi salah satu daripada dua calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum November.

Persaingan untuk satu lagi tempat masih terbuka, dengan bekas hos televisyen British-Amerika, Steve Hilton dari Parti Republikan, dan aktivis iklim serta jutawan, Tom Steyer dari Parti Demokrat, masih bersaing rapat.

Proses pengiraan undi di negeri paling ramai penduduk itu dijangka mengambil masa beberapa minggu berikutan jumlah undi pos yang tinggi daripada kira-kira 23 juta pengundi berdaftar.

Lebih 60 calon, kebanyakannya daripada Parti Demokrat, bertanding dalam pilihan raya pendahuluan bagi menggantikan Gabenor Gavin Newsom yang tidak layak bertanding semula selepas mencapai had penggal.

Calon yang menduduki tempat kedua akan berdepan Becerra dalam pertarungan akhir untuk jawatan gabenor, yang bertanggungjawab mengurus bajet bernilai berbilion dolar serta pentadbiran ribuan kakitangan dan ratusan agensi negeri.
 

 

Must Watch Video

Advertisement