JAKARTA: Indonesia meneruskan rancangan membangunkan projek pusat data kecerdasan buatan (AI) bernilai AS$5 bilion (RM23.5 bilion) di Batam, wilayah Kepulauan Riau, bagi memperkukuh ekosistem industri digital pulau itu.
Pihak Berkuasa Zon Perdagangan Bebas dan Pelabuhan Bebas Batam (BP Batam), Li Claudia Chandra berkata pembangunan seluas 30 hektar di Nongsa, Batam itu akan dilaksanakan oleh Equator Gate System Batam (EGSB), pemaju pusat data AI yang disokong syarikat berpangkalan di China, Range Intelligent Computing Technology Company Limited (RangeIDC).
“Kehadiran pelaburan Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) ini menjadi pemangkin untuk mempercepat transformasi Batam ke arah ekonomi berasaskan teknologi, inovasi dan pendigitalan,” katanya, menurut Agensi Berita ANTARA pada Isnin.
RangeIDC, antara syarikat pusat data terbesar di China yang disenaraikan di Bursa Saham Shenzhen, memilih Batam sebagai lokasi pengembangan antarabangsa pertamanya di luar China bagi pembangunan pusat data AI berketumpatan tinggi.
Li Claudia berkata, projek itu turut diperkukuh menerusi pemeteraian Perjanjian Pembelian Tenaga antara PT PLN Batam, anak syarikat utiliti elektrik milik negara Indonesia, Perusahaan Listrik Negara (PLN), dengan EGSB bagi menyokong bekalan tenaga stabil dan mampan yang diperlukan pusat data AI moden.
Sementara itu, Timbalan Pelaburan BP Batam, Fary Djemy Francis berkata, pihak berkuasa itu akan menyelia projek berkenaan menerusi mekanisme pelaksanaan pantas bagi membantu mempercepat realisasi pelaburan.
Beliau berkata, projek itu dijangka menarik industri strategik berkaitan termasuk pengkomputeran awan, ekosistem semikonduktor dan perkhidmatan AI, selain mewujudkan kira-kira 700 hingga 800 peluang pekerjaan profesional dalam sektor teknologi digital dan pusat data melalui kerjasama dengan universiti di Batam.
“Batam tidak lagi dibangunkan semata-mata sebagai zon industri pembuatan, sebaliknya sedang berubah menjadi hab pelaksanaan industri digital global,” katanya.
-- BERNAMA